PM Anwar bakal umumkan perkara penting hala tuju media
Bagi meraikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting mengenai hala tuju media di Ipoh, Perak esok.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kerajaan sentiasa berbincang mengenai hala tuju industri media ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang mendorong perubahan dalam aspek penerbitan akhbar.
“Tekanan ekonomi dan perkembangan ini memberi kesan kepada kelestarian, kemampanan industri media dan tidak terkecuali aspek kebajikan para pengamal media dan semua aspek ini sememangnya diberi perhatian oleh kerajaan.
“Esok, Perdana Menteri akan hadir untuk memberi ucaptama di HAWANA dan kita boleh jangkakan ada beberapa pengumuman penting, khususnya mengenai hala tuju industri media,” katanya selepas melancarkan logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di Esplanade, Taman KLCC, hari ini.
Jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, perkara berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia juga dijangka menjadi antara perkara yang akan disentuh pada sambutan Hawana kali ini.
Sambutan Hawana 2023 yang mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ bertujuan memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas, berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.
Acara kemuncak Hawana 2023 yang berlangsung selama tiga hari itu adalah majlis perasmian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Untuk rekod, tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Selain itu, Hawana kali pertama diadakan pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur namun terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 sebelum dianjurkan kembali di Melaka tahun lepas.