PM Anwar mahu anak muda tanam sikap suka membaca
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda untuk menanam sikap membaca bagi melahirkan generasi yang berilmu.
Jelasnya, tabiat itu juga membolehkan golongan belia membuat sesuatu penilaian yang lebih baik terutamanya dalam memilih pemimpin yang layak.
“Pesta buku ialah galakan anak muda untuk mula membaca dan mengkaji dalam semua aspek ilmu antaranya sastera, ekonomi dan sains.
“Selain itu, dengan tabiat tersebut anak muda dapat menilai pemimpin bukan sahaja dari sudut akhlaknya tetapi ilmunya juga perlu diukur,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Turut hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan timbalannya Lim Hui Ying.
Selain itu, Ahli Parlimen Tambun tersebut turut itu turut menyifatkan anjuran pesta buku tahun ini adalah penganjuran yang berjaya kerana dihadiri ramai anak muda.
“Jika tanya saya mahu salute (tabik hormat) pada siapa? Saya mahu anak-anak muda yang berkunjung hari ini,” katanya lagi.
Pesta Buku Antarabangsa 2023 (PBAKL) yang diadakan dari 26 Mei hingga 7 Jun itu turut melibatkan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Setakat ini sebanyak 211 syarikat dan penerbit dari dalam dan luar negara melibat 812 reruai terlibat dalam menjayakan pesta buku terbesar negara itu.