Umat Islam boleh tentukan arah kiblat tepat petang ini

Umat Islam boleh menentukan arah kiblat secara tepat menerusi kaedah bayang ketika matahari berada di atas Kaabah (Istiwa’ Adzam) tepat jam 5.18 petang ini.

Penentuan arah kiblat ini hanya memerlukan peralatan yang mudah iaitu objek tegak seperti sebatang kayu.

Menurut Jabatan Mufti Selangor, orang ramai boleh melakukan pengukuran kiblat yang tepat menggunakan apa sahaja objek yang tegak di kediaman masing-masing seperti tingkap dan pintu tepat jam 5.18 petang ini.

Menerusi tutorial di Facebook jabatan itu, bayang yang jatuh itu adalah menunjukkan arah kiblat.

“Jadi, apa yang boleh dilakukan kita adalah ambil marker pen atau pembaris, dari arah bayang ke arah objek (yang tegak seperti pagar atau pintu). Itulah arah kiblat kita. Masanya adalah 5.18 petang.

“Sekiranya terlepas (masa 5.18 petang), anda boleh menanda arah kiblat sendiri sekurang-kurangnya dalam tempoh 20 minit daripada masa tadi kerana arahnya masih lagi sama, Insya-Allah,” katanya.

Fenomena Istiwa’ Adzam berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada 28 Mei (5.18 petang) dan 16 Julai, jam 5.28 petang.

Istiwa’ Azam merupakan keadaan apabila matahari berada di atas titik Zenit sesuatu tempat ketika ia melintasi di median tempat berkenaan.

Ketika Matahari Istiwa di atas Kaabah, bayang-bayang objek di mana-mana tempat di bumi yang menerima cahaya matahari boleh menjadi panduan arah kiblat.

BACA JUGA Tidak perlu ragu arah kiblat masjid, surau di Selangor – MAIS