‘Media perlu berani lapor berita tanpa rasa bimbang, berat sebelah’

Malaysia bukan sahaja memerlukan media yang benar-benar bebas, tetapi juga yang cukup berani untuk melaporkan sebarang berita tanpa rasa bimbang atau berat sebelah, kata Mohamed Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi dan Digital berkata, media sedemikian diperlukan bukan hanya untuk mewujudkan semak dan imbang, malah memastikan bahawa suara semua pihak dapat didengar dengan jelas dan diberi perhatian.

“Malaysia ditempatkan di kedudukan ke-73 dalam indeks World Press Freedom 2023 yang dikeluarkan pertubuhan Reporter Without Borders, kedudukan tertinggi yang belum pernah dicapai Malaysia tahun-tahun sebelum ini dan ia tidak seharusnya dipandang enteng kerana masih ada banyak usaha yang perlu dilaksanakan.

“Jadi, saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, rakan-rakan media dapat duduk berbincang, mencambah buah fikiran yang bukan sahaja akan dapat meluaskan pandangan kita tapi juga akan mencari ikhtiar mengenai apa yang perlu kita lakukan demi masa depan industri ini,” katanya.

HAWANA 2023 turut melibatkan 150 peserta termasuk wartawan dan ahli akademik dari Singapura, Indonesia, China dan Kuwait.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Forum Media Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, di Ipoh, Perak, hari ini.

Fahmi dalam ucapannya turut berkata telah berlaku peralihan media tradisional kepada kebangkitan era media baharu iaitu media sosial yang merupakan sumber utama berita secara digital serta menjadi rujukan masyarakat.

Forum dengan tema ‘Masa Depan Media’ anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu diadakan bersempena HAWANA 2023 dengan penglibatan 150 peserta termasuk wartawan dan ahli akademik dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, China, Jepun dan Kuwait.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Ni Ching, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD, Mastura Ahmad Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin dan Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting mengenai hala tuju media pada majlis sambutan HAWANA 2023 itu nanti.

BACA JUGA PM Anwar bakal umumkan perkara penting hala tuju media