Peja hanya pelawak, cuma sempat ‘review’ mi kari Putrajaya

Seorang pemimpin PKR menolak kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah ‘giant killer’ seperti didakwanya.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, dakwaan itu jelas hanya untuk membanggakan diri sebagai seorang yang kononnya ‘giant’ dalam politik tanah air.

Walhal, bidasnya, bekas Menteri Besar Perak itu kecundang pada ‘giant’ sebenar iaitu Anwar yang menang di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, jika Faizal Azumu atau dikenali Peja dijadikan ukuran pimpinan yang berada dalam Bersatu, beliau tidak hairan mengapa Pas mula memijak Bersatu yang dilihat menjadi liabiliti kepada Pas dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Sebenarnya Peja (Faizal) hanya ‘pelawak’ dan kedudukannya sebelum ini hanya kerana ihsan rakan sekutu.

Razeef Rakimin

“Saya mengambil contoh, kedudukan beliau (Peja) selaku Menteri Besar Perak (ketika itu) adalah atas ihsan rakan sekutu walaupun partinya hanya memenangi satu kerusi pada PRU14 bersama Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razeef berkata selepas mengkhianati PH, Peja akhirnya telah digulingkan oleh sekutu baharunya pada masa itu iaitu Umno.

“Peja kemudiannya diberi lantikan (sebagai) Penasihat Khas Perdana Menteri atas ihsan Mahiaddin sebelum kehilangan jawatan berkenaan dan hanya sempat ‘review’ (mengulas) mi kari Putrajaya,” ujarnya.

Terdahulu, Peja yang diwawancara oleh satu portal media menjangkakan Anwar tidak akan bertanding di Tambun sekali lagi, beliau berkata, dia dengan Pengerusi PH itu akan kalah.

“Dia akan kalah. This is Peja we are talking about. He (Anwar) can only be giant killer once (Ini adalah Peja yang sedang kita bicarakan. Dia hanya boleh jadi giant killer sekali),” katanya sambil ketawa.

Untuk rekod, pada PRU15 yang lalu, Anwar menewaskan Peja dengan majoriti 3,736 undi.

BACA JUGA AMK Perak lapor polis terhadap kenyataan ‘peliwat’ Ahmad Faizal