PM umum dana RM1 juta bantu bekas wartawan uzur, susah
Sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan dengan keuzuran dan kesukaran dalam hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan permulaan tersebut ketika majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
“Ada pengumuman kecil yang saya diminta untuk umumkan iaitu tentang Tabung Kasih@HAWANA. Untuk permulaan, saya luluskan RM1 juta,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyifatkan akhbar di negara ini masih mempunyai peranan tinggi kepada masyarakat.
“Selain daripada melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya anggap membaca surat khabar itu satu perkara yang wajib.
“Jadi, saya teruskan dan saya masih mewakili pandangan bahawa surat khabar itu masih mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar,” katanya.
Menteri Kewangan itu juga menegaskan sebuah kupasan di Amerika Syarikat pada tahun lalu yang menyatakan pandangan media utama akan merosot juga terbukti salah.
“Nampak terbukti salah. Ada beberapa media kalau dipertahankan integriti, kebebasan dan mutunya mampu bertahan,” katanya lagi.
BACA JUGA ‘Media perlu berani lapor berita tanpa rasa bimbang, berat sebelah’