Tanam padi guna air masin: ‘China ada benih sesuai’

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan bercadang meneroka tanaman padi air masin dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, perbincangan awal telah dibuat bersama pakar berkaitan di China bagi mendapatkan pandangan dan penggunaan teknologi bersesuaian.

“Saya bertemu profesor di China, ada tanaman padi air masin di sana dan mereka dapat benih sesuai selepas empat tahun kajian dan (mengharungi) lapan musim.

“Di peringkat awal dalam perbincangan, kawasan tepi laut yang air naik itu tidak dibiarkan, boleh digunakan pada masa akan datang dengan teknologi dan pandangan pakar,” dipetik BH.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama Usahawan Harumanis Kodiang di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3, di Kodiang, Kedah hari ini.

Untuk rekod, saintis China dilapor berjaya menghasilkan benih padi yang tahan air masin dalam usaha memastikan keterjaminan makanan republik itu.

Beras tahan garam mengandungi gen daripada varieti padi liar terpilih itu lebih tahan terhadap garam dan alkali.

Kajian di wilayah timur Shandong negara itu mendapati, pengeluaran ‘beras air laut’ itu menghasilkan lebih dua kali ganda dalam tempoh tempoh tahun.

Penghasilan varieti padi itu menjadi keperluan ketika bumi diancam kenaikan paras laut akibat kesan pemanasan global.

Kelazimannya, air tawar merupakan komponen tunggal yang paling penting dalam pengeluaran padi.

Pesawah secara purata menggunakan kira-kira 3,000 liter air bergantung kepada jenis tanih dan saliran untuk menghasilkan sekilogram beras.

BACA JUGA KPKM pastikan bekalan ayam, telur mencukupi