Tiada kompromi isu agama, perkauman – TPM

Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mengutamakan dan menyokong soal berkaitan Islam serta Melayu, tanpa mengetepikan agama dan bangsa lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berterusan memainkan isu perkauman dan agama.

“Tidak akan pernah luntur rasa kemelayuan dan tidak cair keimanan kita kalau kita menyantuni bangsa serta agama lain,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis anugerah sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Ke-42 dan Ke-43, malam tadi.

Zahid mahu belia menceburi keusahawanan dan TVET dengan memanfaatkan pelbagai bentuk sokongan kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, memandangkan Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk, nilai itu harus disantuni demi mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat.

Katanya, sama juga situasinya dalam soal kestabilan politik yang bukan hanya semata-mata kerana agenda, tetapi untuk pembangunan negara bagi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Pada masa sama, beliau berkata, kepimpinan baharu belia, khususnya Gerakan Belia 4B Malaysia harus melihat tiga elemen yang turut ditawarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah pentadbirannya, dalam memastikan mereka bukan hanya berkhidmat untuk ahli semata-mata, malah kepada seluruh masyarakat.

Ujarnya, elemen itu adalah penglibatan ahli dan masyarakat, terutama belia dalam sektor ekonomi bagi menaik taraf kehidupan, keterlibatan belia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta skim rangsangan untuk menaikkan profesion pelajar tahfiz yang menghafaz 30 juzuk Al-Quran.

“Organisasi kita ketuai perlu melihat kepada aspek keterlibatan ahli dalam sektor ekonomi, khususnya dan menaik taraf status sistem mesti dilakukan, menerusi program keusahawan.

“Kementerian juga tawarkan sebanyak 529 kursus menerusi pelbagai program TVET, agar dimanfaatkan bukan sahaja untuk ahli, malah pemimpin organisasi belia,” tambahnya lagi.