Arah warga pendidik tonton filem Anwar: Ketua Pemuda Pas Sabah kaki fitnah

Surat yang tular mengarahkan warga pendidik dan murid-murid sekolah menonton tayangan filem Anwar: The Untold Story sama sekali tidak pernah dikeluarkan oleh pejabat ketua pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam, hasil semakan oleh seorang pegawai yang bertugas di KPM mendapati bahawa surat yang ditularkan Ketua Dewan Pemuda Pas Sabah, Hendri Hamsah di laman Facebook miliknya adalah tidak benar.

Ketika dihubungi Harapan Daily hari ini, Asmaaliff mengesahkan bahawa surat tersebut palsu berdasarkan maklumat diperolehinya dari pegawai KPM yang tidak dinamakan.

“Ketua Pemuda Pas kaki fitnah. Saya telah hubungi pegawai yang bertugas di KPM dan bertanya tentang (isi) dalam surat berkenaan.

“Beliau menafikan surat itu dikeluarkan oleh pejabat KPPM (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia),” kata Asmaaliff.

“Lebih mengecewakan lagi nama pegawai khas KPPM pun salah seolah-olah pemfitnah ini tidak membuat kajian teliti sebelum membuat dosa fitnah,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda AMANAH Nasional dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kononnya mengarahkan ketua bahagian, pengarah jabatan negeri, pengetua, guru besar menonton Anwar: The Untold Story di dalam surat palsu bertarikh 22 Mei.

Hendri yang berkongsi surat itu, memuat naik surat tersebut dengan hantaran seperti berikut: “Ah sudah. Saya pun harap ini ‘fake’. Malaysia Madani semua boleh!”.

Asmah dah bersara

Dalam surat pekeliling itu juga, tertera nama pegawai khas KPPM untuk dihubungi iaitu Asmah, di mana hasil semakan Asmaaliff, beliau memberitahu bahawa pegawai khas tersebut sudah pun bersara wajib sejak Januari lalu.

“Untuk makluman pemfitnah, Puan Asmah telah bersara wajib sejak bulan Januari 2023 lagi,” kata Asmaaliff.

Isi surat berkenaan turut tertulis bahawa arahan penganjuran program bertujuan untuk membuka ruang bagi warga KPM dan murid untuk memahami erti dan konsep Malaysia Madani.

Turut dilihat tandatangan KPPM, Datuk Pkharuddin Ghazali di atas surat tersebut.