‘Kalih Bagi Sama’ sebab Sanusi, PN tidak mampu tadbir Kedah

Rakyat Kedah perlu memastikan hasrat ‘Kalih Bagi Sama’ tercapai memandangkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor gagal mentadbir dan menjana ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustapa berkata, reaksi Sanusi dalam isu gangguan bekalan air baru-baru ini bukti perlunya pengundi memastikan pentadbiran kerajaan negeri sejajar dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu menafikan pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) bertanggungjawab dalam isu kegagalan menutup pintu baraj Sungai Muda yang rosak.

“MB (Menteri Besar) kata bukan isu SADA tapi bawah JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) iaitu Kerajaan Pusat bukan kerajaan negeri.

“Dia (Sanusi) kata begitu. Penyokong dia buat (penjelasan) dalam TikTok. Kalau kita dengar TikTok tu, kita percaya dah.

“Jadi, kalau kita nak selesai semua perkara itu (termasuk masalah air), kita harus bersama Kerajaan Persekutuan, kerajaan Madani.

“Sebabnya, dah dia kata ini bukan bawah tanggungjawab kerajaan negeri,” katanya.

Syed Hafiz berkata demikian dalam Ceramah Jelajah Madani Kedah peringkat DUN Alor Mengkudu malam tadi.

‘Kalih Bagi Sama’ (Flip It) adalah slogan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Kedah untuk kempen PRN yang bertujuan menjajarkan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan selepas pilihan raya.

Usaha penjajaran kerajaan dengan mengetepikan politik kepartian itu adalah pilihan terbaik untuk rakyat demi masa depan dan pembangunan Kedah dalam jangka panjang.

Untuk rekod, Sanusi dalam sidang media di Wisma Darul Aman pada 17 Mei lalu mendakwa, berlaku kecuaian di pihak Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) apabila gagal menutup satu daripada pintu baraj Sungai Muda yang rosak sehingga menyebabkan paras sungai itu turun mendadak.

Katanya, pihak SADA sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan berkaitan penyusutan paras Sungai Muda pada jam 10 malam, 14 Mei, dan jam 12 tengah malam 15 Mei lalu.

Menurut Sanusi, apa yang dikesalkan tindakan menutup pintu baraj yang rosak secara manual hanya dibuat petugas PLSM pada Isnin (15 Mei), jam 7 pagi iaitu selepas ia terbuka selama 11 jam.

Dalam masa sama, Syed Hafiz menegaskan bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diterajui Sanusi tidak berperanan dengan sewajarnya.

“Kita ada banyak Exco dalam kerajaan negeri. Nampak tak peranan Exco-exco yang ada dalam kerajaan negeri hari ini? Tiada.

“Peranan untuk membantu Menteri Besar ni, siapa? Exco-exco inilah. Kalau Exco sendiri tidak membantu (Menteri Besar)…

“Apa Exco luar bandar buat? Apa Exco kerajaan tempatan buat? Apa Exco pertanian buat?

“Semua salahkan Kerajaan Pusat. Kalau tidak mampu mengurus tadbir dan menjana ekonomi negeri, kita harus kalih bagi sama. Itu harus kita buat,” seru Syed Hafiz lagi.

BACA JUGA Pelaburan RM170 bilion dari China ‘tunggu’ keputusan PRN