Kemenangan Erdogan tingkatkan hubungan Malaysia-Turkiye – Mujahid

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan yang memenangi pilihan raya sebagai Presiden Turkiye untuk lima tahun lagi.

“Tahniah Erdogan memenangi jawatan Presiden melepasi syarat 50 peratusan undi dalam pusingan ulangan iaitu 52.14 peratus .

“Semoga hubungan Turkiye-Malaysia di bawah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan lebih meningkat untuk mencapai cita-cita Dunia Rahmah untuk semua,” tulis beliau dalam satu catatan di Facebook rasminya hari ini.

Semalam, Erdogan memenangi jawatan Presiden Turkiye selepas berjaya mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu dalam pilihan raya penentu.

Media antarabangsa melaporkan, Erdogan telah memperoleh 52.14 peratus undi, manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86 peratus undian.

Untuk rekod, pada pengundian pusingan pertama 14 Mei lalu, Erdogan memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu, tetapi gagal mencapai 50 peratus undian yang diperlukan untuk menang.

Â