Keputusan SPM diumum 8 Jun

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan diumumkan pada 8 Jun (Khamis), kata Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini.

Kementerian memberitahu, calon peperiksaan awam itu boleh mendapatkan keputusan SPM dari sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi.

“Slip keputusan akan dihantar melalui pos bagi calon persendirian atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan,” kata kenyataan itu.

Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM 2022 mulai 10 pagi pada 8 Jun sehingga pukul 6 petang pada 14 Jun.

Semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM 2022 dengan menaip SPMNombor Kad PengenalanAngka Giliran dan hantar ke 15888.

Sistem tersebut akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada 8 Jun 2023 sehingga pukul 6 petang pada 14 Jun.

Seramai 403,637 calon telah berdaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2022 di 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.