Lesen dua syarikat bas ekspres digantung, tidak patuhi syarat keselamatan

Lesen pengendali dua syarikat bas ekspres yang terlibat dalam kejadian kemalangan pada 12 dan 13 Mei lepas iaitu S.V Juta Sdn Bhd dan Kejora Masyhur Sdn Bhd digantung berkuat kuasa 12 Jun ini, kata Kementerian Pengangkutan.

Kementerian dalam kenyataan berkata tindakan itu dilakukan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) selepas siasatan dijalankan terhadap insiden kemalangan membabitkan bas ekspres syarikat berkenaan.

S.V Juta digantung lesen pengendali selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Kejora Masyhur pula digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti yang tersenarai di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sepanjang tempoh penggantungan, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 12 Mei lepas, bas Starmart Express di bawah S.V Juta terbabit dalam insiden kemalangan dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan manakala pada 13 Mei pula bas TRA Xpress di bawah Kejora Masyhur berlanggar dengan dua lori di Kilometer 257.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan.

Kenyataan itu berkata hasil siasatan APAD mendapati kedua-dua syarikat tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan selain semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Tindakan yang dikenakan ke atas kedua syarikat pengendali ini diharap menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan,” katanya.

BACA JUGA: Hasil bidaan siri FF cecah lebih RM34 juta