Media sosial jadi ‘senjata’ Pemuda PH Selangor tempur PRN

Sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan platform media sosial sebagai ‘senjata’ utama dalam berkempen untuk meraih perhatian pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Ketua Pemuda PH Selangor, Danial Al Rashid Haron berkata, pengundi muda cenderung mendapat segala maklumat mengenai PRN melalui media sosial dan situasi itu akan memberi impak yang agak besar kepada keputusan PRN kali ini.

Menurutnya, pengundi generasi muda dipercayai lebih mudah terpengaruh dengan isu politik semasa yang diuar-uar menerusi media sosial dan keadaan tersebut dicerminkan oleh pola pengundian mereka.

“Platform media sosial semakin hari semakin menjadi tumpuan sebagai medium komunikasi yang digunakan golongan muda masa kini untuk mengakses maklumat dengan mudah dan pantas.

“Jadi, medium ini memang efektif kalau digunakan de­ngan pendekatan yang betul dan bertepatan pada PRN akan datang,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, sasaran undi untuk PRN Selangor kali ini semakin meluas kerana kehadiran pengundi 18 tahun yang menjadi sebahagian pemilih kali ini, manakala media sosial sepatutnya menjadi salah satu medium utama kempen.

Kata Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor, ia termasuk menyediakan bahan kempen yang berbentuk infografik yang mudah difahami, visual dengan audio menarik, santai dan bersifat interaktif yang bersesuaian dengan jiwa golongan muda.

Selain itu katanya, calon-calon bertanding turut dipersiapkan dalam penggunaan platform media sosial untuk hujahan politik.

“Mereka (calon) tahu dan arif betapa kuatnya media sosial untuk meraih sokongan pengundi. Jadi, segala hujahan politik perlu dikemukakan secara bijaksana berdasarkan fakta.

“Ini supaya segala maklumat sahih dapat sampai ke minda dan hati pengundi, sekali gus membolehkan pengundi mereka membuat keputusan bijak,” ujarnya.

Terdahulu, penganalisis politik daripada Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, anggota Kerajaan Perpaduan perlu berhati-hati memandangkan trend Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan perubahan akan berlaku pada PRN akan datang.

Katanya, bilangan pengundi di Selangor telah meningkat lebih 55 peratus, daripada 2.42 juta pada 2018 kepada 3.75 juta dalam daftar terkini, berikutan pendaftaran pengundi automatik dan Undi18, dan ini berpotensi membuka peluang untuk mana-mana parti mendahului undian.

BACA JUGA Prestasi dan keupayaan Pakatan Harapan di Selangor, kekal jadi kubu kuat