Pelaburan RM170 bilion dari China ‘tunggu’ keputusan PRN

Pelaburan yang sudah dipersetujui antara Malaysia dan China bulan lalu bergantung pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kestabilan politik di negara ini merupakan antara perkara yang diambil kira oleh pelabur antarabangsa.

“Macam sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pergi ke China (April lalu). Dalam MoU, China akan melabur lebih kurang RM170 bilion.

“Tapi pelabur-pelabur ini tunggu (keputusan) Pilihan Raya Negeri (PRN). Mereka nak lihat Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dapat sokongan rakyat atau tidak.

“Kalau mereka lihat Kerajaan Perpaduan ini dapat sokongan lebih daripada yang dijangka, kita akan lihat pelaburan (yang masuk) ini cergas lagi masuk selepas bulan Julai dan Ogos yang akan datang,” tegasnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata demikian dalam Ceramah Jelajah Madani Kedah peringkat DUN Alor Mengkudu malam tadi.

Pada 1 April lalu, Anwar mengumumkan Malaysia menerima komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion dari pelabur China.

Ia termasuk komitmen pelaburan yang sudah dipersetujui menerusi pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan China sempena Forum Perniagaan Malaysia – China 2023.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, kestabilan politik menjadi ukuran utama dalam pertimbangan pelabur serta kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara.

Menurutnya, ‘perang politik’ apatah lagi peperangan secara fizikal akan merencatkan hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan antara negara dan syarikat.

“Macam sekarang, contohnya, Sudan. Bergaduh dua orang jeneral, jeneral utama dengan jeneral wataniah, berperang dalam malam 27 (Ramadan). Kalau di Malaysia main mercun, sana main meriam betul dan bom. Siapa mahu melabur di Sudan dalam suasana begini (perang)?

“Di Malaysia, ‘perang politik’ menyebabkan pertukaran perdana menteri, bertukar jenteranya dan mengambil masa.

“Sekarang, Alhamdulillah. Kita harap pemerintahan yang ada ini, InsyaAllah kekal sehingga empat tahun setengah akan datang,” kata Mohamad lagi.

BACA JUGA Masa depan negara ada di tangan anak muda – Mohamad Sabu