PM Anwar ucap tahniah Presiden Erdogan kekalkan jawatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai para pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Presiden Recep Tayyib Erdogan yang berjaya mengekalkan jawatan dalam pilihan raya Turkiye semalam.

Perdana Menteri berkata Turkiye akan terus kekal memainkan peranan konstruktif sebagai pemain penting serantau dan global.

“Tahniah kepada Presiden Erdogan kerana telah dipilih semula dalam Pilihan Raya Presiden Turkiye,” katanya dalam hantaran di Twitter hari ini.

Anwar yang merupakan rakan rapat Erdogan berkata Malaysia mahu meneruskan kerjasama rapat dengan Turkiye untuk melonjakkan hubungan dua hala sedia ada.

Pengerusi Majlis Pilihan Raya Turkiye, Ahmet Yener, mengumumkan Erdogan telah dipilih semula sebagai presiden dalam pilihan raya penentu yang diadakan semalam dengan mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.

Menurut keputusan tidak rasmi, Erdogan memperoleh 52.14 peratus, manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86 peratus undian.

Pada pengundian pusingan pertama 14 Mei lalu, Erdogan memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu tetapi gagal mencapai 50 peratus undian yang diperlukan untuk menang.

Sementara itu, melalui platform media sosial, sejumlah pemimpin dunia merakamkan ucapan tahniah kepada Erdogan atas kejayaannya mengekalkan jawatan Presiden yang disandang sejak 2014.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berharap untuk terus bekerjasama dalam pelbagai isu termasuk berkaitan isu dua hala dan cabaran global.

Presiden Rusia Vladimir Putin menghargai sumbangan Erdogan untuk mengukuhkan hubungan “akrab” antara Moscow dan Ankara dan menyatakan kesediaan beliau untuk meneruskan “dialog membina” dalam agenda dua hala, serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak yang turut mengucapkan tahniah kepada Erdogan berkata: “Saya berharap untuk meneruskan kerjasama yang kukuh antara negara kita.”

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengucapkan tahniah kepada Erdogan dan berkata: “Kami akan terus maju bersama.”

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pula “tidak sabar untuk terus membina hubungan Kesatuan Eropah (EU)-Turkiye.”

“Adalah kepentingan strategik bagi kedua-dua EU dan Turkiye untuk berusaha memajukan hubungan ini, untuk manfaat rakyat kita,” ciapnya di Twitter.

Selain itu, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan.

BACA JUGA: Erdogan kekal sebagai Presiden Turkiye