‘Sanusi tidak mampu pimpin Kedah, tiba masa rakyat kalih bagi sama’

Rakyat Kedah tiada sebab untuk mengekalkan lagi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan Julai ini.

Pengerusi Parti Amanah (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pembubaran DUN yang dijangka pada 25 Jun ini menyaksikan detik untuk rakyat negeri itu ‘kalih bagi sama’ dengan Kerajaan Persekutuan.

“PRN inilah masa untuk kita memilih pemimpin yang akan membentuk kerajaan negeri Kedah.

“PRN ini nanti untuk menunjukkan bahawa Sanusi memang tidak mampu dan tidak boleh memimpin negeri Kedah.

“Tidak ada pilihan. Jom kita kalih bagi sama,” ujarnya dalam Ceramah Jelajah Madani Kedah peringkat DUN Alor Mengkudu semalam.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa pemikiran Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dibimbangi merosakkan negeri dan negara.

Hal ini, jelasnya, terbukti apabila, Sanusi berkata, pentadbiran Kedah sama ada yang sekarang atau sebelum ini tertakluk kepada dasar Persekutuan dalam hal penggunaan tanah yang membawa kepada kadar kemiskinan yang tinggi di negeri itu.

“Dia (Sanusia) bukan sahaja menghina kerajaan terdahulu yang mempunyai niat yang baik untuk memastikan Kedah menjadi negeri yang membekalkan beras kepada negara tetapi juga keseluruhan pegawai kerajaan yang telah buat kerja daripada dulu sampai sekarang.

“Pemikiran MB yang begini akan merosakkan negeri dan negara,” katanya merujuk pada temubual Sanusi dengan akhbar The Star baru-baru ini.

Terdahulu, Sanusi turut dilapor berkata, Kedah memiliki kawasan yang luas tetapi diarah untuk menanam padi seluas kira-kira 130,000 hektar dengan cukai tanah untuk sawah yang paling rendah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu juga dilihat cuba berdalih dengan kedudukan negeri tersebut di tangga kedua termiskin selepas Kelantan apabila menyatakan bahawa negeri itu perlu mewartakan lagi hutan untuk tadahan air seluas lebih daripada 300,000 hektar.

Mengulas lanjut kenyataan pemimpin Pas itu, Ismail berkata, berbeza dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), golongan yang berbudi dengan tanah dipastikan mempunyai pendapatan yang jauh lebih baik.

“Kita hari ini berusaha untuk memastikan petani, pesawah dan peladang ini akhirnya memperoleh pendapatan yang meletakkan mereka bukan lagi dalam golongan B40. Ini yang dilakukan.

“Di negara luar, petani kaya raya. Kerajaan Malaysia Madani mengangkat golongan petani, memberi fokus untuk memastikan mereka bangkit untuk sama dengan golongan lain.

“Dia (Sanusi) tidak. Dia kata nak ubah 20 peratus (tanah) jadi (zon) industri. Kalau nak ubah, tak payah ambil hak MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda).

“85 peratus di luar KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) tu, ambillah buat industri,” kata Ismail lagi.

BACA JUGA ‘Kalih Bagi Sama’ sebab Sanusi, PN tidak mampu tadbir Kedah