Wanita disaran ambil peluang jalani ujian kesan kanser percuma

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan kaum wanita untuk menjalani ujian pengesahan awal kanser payudara dan pangkal rahim secara percuma yang disediakan oleh kerajaan.

Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu berkata kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sentiasa berusaha untuk mengurangkan statistik wanita tercicir daripada mendapatkan kedua-dua ujian pengesanan ini.

“Berita baiknya adalah sepanjang Mei ini sempena meraikan Hari Ibu selain dua-dua ujian ini (ujian Mamogram dan HPV DNA), ujian BMI, tekanan darah, kolesterol dan glukos diberikan secara percuma kepada semua wanita yang layak.

“Selepas Mei sehingga hujung tahun, ujian Mamogram dan HPV DNA masih diteruskan secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Wanita: Kanser Wanita dan Gaya Hidup di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini, lapor Bernama.

Hadir sama TimbalanKetua Pengarah (Dasar) Hairil Fadzly Md Akir dan  Pengarah LPPKN Pulau Pinang Dr. Azura Abdullah.

LPPKN telah menjalankan Program Subsidi Ujian Mammogram ini semenjak 2007, dan sehingga April 2023, seramal 47,166 orang wanita di Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Program Saringan Kanser Serviks menggunakan ujian HPV DNA yang telah dilaksanakan semenjak 2019 menyaksikan sehingga April lalu, seramai 2,867 wanita di Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada program ini.

Kanser payudara merupakan penyumbang barah paling tinggi dalam kalangan wanita di Malaysia diikuti kanser kolorektal dan serviks.

Data Laporan Kanser Kebangsaan 2012-2016 menunjukkan peratus kes yang dikesan pada tahap lewat iaitu pada tahap tiga dan empat menunjukkan peningkatan iaitu pada 47.9 peratus berbanding 43.2 peratus dari Laporan Kanser Kebangsaan 2007-2011.