Wanita PKR sasar lapan kerusi DUN untuk PRN Selangor

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli.

Dalam PRU14, Wanita PKR memenangi lima kerusi DUN iaitu Bukit Melawati, Lembah Jaya, Bukit Lanjan, Batu Tiga dan Sementa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati bagaimanapun berkata keputusan mengenai soal kerusi yang akan ditandingi pada PRN itu nanti akan diketahui setelah proses rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dimuktamadkan.

“Di peringkat wanita PKR, negeri Selangor kita sasarkan lapan kerusi adalah untuk wanita.

“Tapi kita belum lagi masuk soal calon kerana sekarang kita baru di peringkat rundingan pembahagian kerusi di antara PH dan BN untuk diselesaikan,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kerusi DUN yang dimenanginya pada pilihan raya yang lalu.

Akan pertahan Bukit Melawati

“Insha Allah saya akan pertahankan (DUN Bukit Melawati) tapi akhirnya nanti keputusan akhir akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

“Pada asasnya saya (akan) teruskan momentum gerak kerja pilihan raya dengan (aktiviti) turun padang menyantuni masyarakat dan pengundi secara terus kerana mereka (pengundi) yang akan buat keputusan,” katanya.

Juwairiya yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Selangor percaya bahawa rakyat di Kuala Selangor masih terbuka untuk membuat pilihan meskipun berlaku pertarungan sengit di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Kuala Selangor merupakan kerusi marginal, sebab itu saya dan pasukan saya sendiri bekerja kuat untuk menambah atau mengalihkan sokongan pengundi.

“Mudah-mudahan dengan itu akan memberi peluang kepada saya untuk terus kekal di sini,” ujarnya.

PRU14, Juwairiya berjaya menewaskan penyandang kerusi DUN Bukit Melawati daripada BN, Jakiran Jacomah dengan majoriti 2,695 undi.

Juwairiya memperoleh 11,050 undi, manakala Jakiran (8,355) dan Muhammad Rashid Muhammad Kassim daripada Pas (3,261).

Bukit Melawati ialah salah satu DUN di bawah parlimen Kuala Selangor.