Individu tampil dengan bukti PN terima dana syarikat judi

Ahli perniagaan Rashdan Yusof, 52, hari ini tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian.

Beliau mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti yang mengaitkan gabungan politik pembangkang itu dengan syarikat perjudian.

“Maklumat yang ada pada saya disokong oleh dokumen tertentu. Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu,” katanya kepada pemberita seperti dilapor Free Malaysia Today.

Lelaki tersebut yang tiba ibu pejabat SPRM pada jam 9.30 pagi tadi, mendakwa tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) telah meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk memberikan kenyataan.

Sumber daripada SPRM mengesahkan keterangan lelaki berusia 52 tahun itu dirakam.

Pada Disember 2022, Malaysiakini memetik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan bahawa sebahagian daripada dana PN untuk kempen pilihan rayanya datang daripada syarikat perjudian, terutamanya yang mengambil bahagian dalam ‘cabutan khas’.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan mengulangi kenyataan perdana menteri dan mendakwa beliau yakin ‘pihak di belah sana’ telah memperoleh dana daripada syarikat perjudian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pula memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu, bahawa SPRM telah menjalankan kajian terperinci berhubung maklumat yang diberikan mengenai dakwaan itu, tetapi mendapati ia ‘terlalu umum’. Beliau turut menjelaskan bahawa tiada kertas siasatan dibuka berhubung perkara tersebut.

Ekoran dari kenyataan Anwar, pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin mengumumkan bahawa PN akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar dan Zahid atas kenyataan mereka, yang disifatkan berunsur fitnah.

Sebagai balasan, Anwar mempertahankan kenyataannya dengan berkata beliau tidak akan membuat dakwaan secara tuli tanpa asas. Oleh itu, sebarang tindakan undang-undang oleh pakatan pembangkang dialu-alukan.