Kalimah Allah: Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam sokong kerajaan segera kemaskini arahan pentadbiran

Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM) menyokong penuh usaha Kerajaan Perpaduan untuk menyegerakan tindakan mengemaskini arahan pentadbiran dan pekeliling Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penguatkuasaan kalimah Allah.

Dalam mesyuarat kali pertama yang diadakan semalam, SPIIM berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh agar tidak berlaku lagi kes mahkamah seumpama kes Jill Ireland yang membawa masuk CD bertulis kalimah Allah pada tajuknya.

“SPIIM menjunjung titah Raja-Raja Melayu berhubung kalimah Allah serta menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan Mahkamah Persekutuan pada 2014 bahawa Kalimah Allah adalah khusus untuk umat Islam.

“SPIIM menyeru semua pihak supaya meneruskan usaha-usaha berdakwah bagi memupuk masyarakat Madani yang membawa mesej Rahmah dan menolak kelompok yang memecahbelahkan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir dalam mesyuarat, Pengerusi bersama SPIIM, Datuk Dusuki Ahmad, Penasihat Umum AMANAH Nasional, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang dan Amidi Abdul Manan.

Selain itu, turut hadir ialah Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri; Ustaz Kamal Nazmi Kamaruddin dan Ustaz Mohd Edrus Ab Rahman mewakili Umno.

AMANAH pula diwakili oleh Datuk Abd Ghani Samsudin, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahmad Munsif Ismail. Manakala PKR diwakili Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Muhamad Muszaki Mohd Ozir.

Sidang Dewan Rakyat pada 23 Mei lalu membincangkan soal kalimah Allah di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa cadangan bagi memperkemas peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Julai ini.

Kerajaan juga akan merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi tujuan itu.

Kerajaan juga tidak pernah mengambil keputusan secara diam-diam untuk menarik rayuan dalam kes berkaitan kalimah Allah, sebaliknya perkara tersebut telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Sementara itu, SPIIM memaklumkan akan mengadakan Konvensyen Perpaduan Ilmuwan Islam dalam masa terdekat bagi menghimpunkan alim ulama dan ilmuwan Islam bertujuan memperkasakan agenda Islam dalam kerangka Malaysia Madani.

BACA JUGA Penjelasan PMX berkenaan isu kalimah Allah