Kerajaan Perpaduan: Gandingan yang saling melengkapi, kata Khalid
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk 19 parti dengan gabungan utama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merupakan gandingan yang saling melengkapi.
Menurutnya, isu berkaitan Melayu yang dianggap sebagai kekurangan PH dapat diatasi dengan penggabungan dengan BN memandangkan Umno adalah parti yang tertua di negara ini.
Jelasnya, parti utama dalam BN itu mempunyai jaringan di peringkat akar umbi walaupun kemudiannya muncul Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kehadiran Umno dalam Kerajaan Perpaduan menyumbang kebaikan kepada apa yang diperjuangkan PH. Umno juga dapat menghapuskan stigma yang terpalit pada parti itu dengan isu rasuah.
“Soal ketelusan dan akauntabiliti yang juga diperjuangkan DAP serta soal politik rahmah dan sebagainya pula melengkapkan perjuangan Umno,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Haji Khalid Samad (Siri 191) bertajuk, “Kerajaan Perpaduan – Gandingan saling melengkapkan” menerusi JOMchannel Youtube dan Facebook malam tadi.
Dalam masa sama, Khalid berpendapat Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Mahiaddin Yassin tidak mempunyai halatuju dalam memajukan Melayu.
Jelas bekas Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan, Pas dan Bersatu yang menganggotai blok pembangkang itu tidak mempunyai iltizam dalam mengetengahkan naratif murni seperti yang dibawa PH.
“Sekarang ini, kita lihat parti-parti Melayu termasuk Pas dan Bersatu, mereka tidak bercakap soal ketelusan, tata kelola yang baik, politik rahmah dan sebagainya.
“Mereka bawa isu Melayu dan Islam terpinggir, lalu dari sudut hala tuju perjuangan Melayu itu tidak nampak membangunkan masyarakat Melayu melainkan hanya rungutan, desakan dan dakwaan itu, ini,” katanya lagi.
BACA JUGA Kebersamaan asas kekuatan Kerajaan Perpaduan
Â