Ladang Rakyat Kelantan gagal capai matlamat kurangkan kemiskinan

Rakyat Kelantan berhak mendapat penjelasan secara terperinci berhubung isu-isu berbangkit mengenai pelaksanaan Program Ladang Rakyat yang dilihat tidak membantu rakyat di negeri itu untuk meningkatkan taraf hidup.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan berkata langkah itu perlu diambil kerajaan negeri kerana terdapat rakyat Kelantan yang secara berterusan telah dinafikan hak sebagai peserta atas sebab perbezaan fahaman politik.

Malah beliau mendakwa terdapat individu yang tidak layak menjadi peserta telah terpilih untuk menyertainya atas dasar kekeluargaan dengan pimpinan Pas.

“Terdapat tindakan melampau sehingga menyebabkan peserta Ladang Rakyat di Kelantan telah dibuang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila mereka hanya terima bantuan daripada parti (politik) lain.

“Malah dalam program tersebut masih terdapat lagi nama-nama isteri kepada penghulu dan pimpinan besar parti Pas yang sebenarnya tidak layak untuk menjadi peserta,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Hazmi mendakwa terdapat juga penyalahgunaan kuasa apabila peserta turut dipaksa untuk menghadiri jemputan ke program parti politik Pas seperti ceramah.

Katanya Ladang Rakyat Kelantan tidak memenuhi objektif penubuhannya untuk mengurangkan kadar kemiskinan rakyat melalui sektor perladangan dan mengurangkan kadar penerokaan haram tanah kerajaan.

“Daripada segi ladang itu sendiri kita tengok masih tidak terkawal dan umum mengetahui bahawa terdapat kehilangan kayu balak atau aktiviti pembalakan sampai botak hutan.

“Sepatutnya negeri Kelantan mendapat lebih lagi (pendapatan) daripada itu, tapi di mana silapnya apabila hasilnya tidak seperti yang dilihat dengan penerokaan hutan sedemikian rupa,” katanya.

Jelasnya, ramai dalam kalangan rakyat miskin yang perlu dibantu di negeri itu telah memohon menjadi peserta tetapi telah dinafikan hak.

Seedangkan katanya program berkenaan bukannya dikelolakan oleh sebuah parti politik tetapi ia adalah program di bawah kerajaan negeri yang boleh dinikmati oleh rakyat di negeri itu.

Untuk rekod, laporan Ketua Audit Negara negeri Kelantan 2011 mendapati Program Ladang Rakyat yang dilaksanakan adalah kurang memuaskan kerana terdapat kelemahan seperti peserta berpenempatan tidak diambil bekerja dan kebanyakan pekerja merupakan warga asing.

Selain itu katanya, program Ladang Rakyat dilihat gagal apabila ia tidak diusahakan sendiri oleh Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (Perbadanan) malah 17 daripada 19 kawasan tanah kerajaan itu telah dilaksanakan oleh syarikat yang dilantik.

Semakan audit juga mendapati, pada tahun 2008 sejumlah RM1 juta telah dikeluarkan daripada akaun amanah peserta program bagi tujuan pelaburan yang dilihat bercanggah dan tidak wajar dengan tujuan sebenar akaun itu ditubuhkan.

BACA JUGA: Kegagalan projek Lembah Sireh, kecekapan Kerajaan Pas Kelantan dipersoal