Lihat kehendak politik kerajaan perpaduan selesai masalah air Kedah

Pengundi di negeri Kedah perlu melihat kehendak politik kerajaan perpaduan yang mahu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri tersebut terutamanya dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Menurut pengarah komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar, isu air adalah perkara paling utama yang diletakkan Kerajaan Perpaduan jika dapat menawan Kedah pada PRN nanti.

Beliau menambah pihaknya mempunyai keazaman politik untuk menyelesaikan sebarang isu termasuk masalah gangguan bekalan air di negeri jelapang padi itu.

“Bagaimana caranya? Sudah tentulah dengan hubungan baik bersama Kerajaan Persekutuan. Kita akan masuk PRN kali ini dengan slogan ‘Kalih Bagi Sama’ dan kita nak minta rakyat untuk kalih kepada Kerajaan Persekutuan supaya mudah, di samping keazaman yang cukup kuat untuk selesaikan masalah.

“Kata kunci yang paling penting kita belajar adalah tentang keazaman politik. Jadi kali ini, kita tawarkan kepada rakyat bahawa keazaman kedua-dua gabungan yang pernah memerintah Kedah ini (Pakatan Harapan-Barisan Nasional), adalah untuk memberikan keutamaan kepada isu rakyat paling pokok iaitu masalah air,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu bekalan air antara lima perkara yang akan diberikan keutamaan oleh Kerajaan Perpaduan kepada rakyat Kedah jika gabungan PH-BN berjaya menakluk negeri itu pada PRN nanti.

Empat isu lain ialah perniagaan agro, pendidikan maahad tahfiz, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan telekomunikasi.

Isu air paling utama

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman-pengalaman terdahulu, isu air akan diletakkan di ‘papan utama’ untuk diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan sekiranya diberikan mandat.

“Jadi untuk menghadapi PRN Kedah, PH-BN belajar daripada pengalaman lalu bahawa perkara paling utama untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini adalah tentang kemahuan politik itu sendiri.

“Kami (PH-BN) sedar tentang isu air ini dan menawarkan kepada rakyat keazaman yang ada pada kami semua,” ujarnya lagi.

Pada 24 April lalu, Ketua UMNO Kuala Kedah Abdul Muthalib Harun menggesa kerajaan negeri menyelesaikan masalah bekalan air yang menjejaskan lebih 35,000 buah rumah di kawasan itu ketika musim perayaan.

Katanya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak seharusnya menyalahkan pentadbiran terdahulu atas masalah tersebut.

“Kerajaan persekutuan sudah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf loji rawatan air dan menggantikan paip air lama di kawasan terjejas,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.