PN sudah isytihar kempen siap siaga 30 hari gempur PRN

Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan kempen ‘Siap Siaga 30 Hari Gempur PN Best!’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Kempen siap siaga itu diumum menerusi Facebook rasmi Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pusat malam tadi.

PRN dijangka Julai depan melibatkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang pada masa ini dikuasai Pakatan Harapan (PH) serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dimiliki Pas.

Kempen sebulan PN itu adalah lanjutan pelancaran kempen sama 100 hari Gempur PN Best pada Mac lalu.

PN dilihat agresif mahu menawan tiga negeri di bawah pentadbiran PH selain mengekalkan penguasaan di tiga negeri.

Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN tidak lama lagi iaitu 56 kerusi di Selangor, Kelantan (45), Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi dan Terengganu (32).