PRN Selangor: Lepaskan Kota Kemuning, fokus Klang

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning, V Ganabatirau tidak akan mempertahankan kerusinya kerana mahu menumpukan perhatian kepada kawasan Parlimen Klang yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika diikutkan, saya tidak berhasrat untuk bertanding kerusi DUN kerana saya ingin memberi tumpuan kepada kawasan Parlimen kerana banyak (perkara) yang perlu dilakukan.

“Bagaimanapun, saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti (DAP) untuk membuat keputusan,” katanya memetik Selangor Journal, semalam.

Ganabatirau sudah menjadi ADUN selama dua penggal meskipun hanya mewakili Kota Kemuning selama satu penggal. Kawasan pertama yang diwakilinya ialah Kota Alam Shah di dalam tahun 2013.

Beliau yang juga Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin berharap penggantinya akan meneruskan perkhidmatan terbaik dan jasa bakti kepada penduduk Kota Kemuning.

“Saya berharap sesiapa yang menggantikan saya dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Saya akui, bukan mudah untuk dapat memenuhi kehendak dan tuntutan semua pihak.

“Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian termasuk penambahbaikan infrastruktur, penyelenggaraan jalan dan saliran serta tebatan banjir,” katanya.

Selain menyelesaikan isu bencana besar (banjir) dan isu harian, beliau berkomitmen untuk melakukan perubahan dalam kehidupan pengundinya dengan mengutamakan keperluan mereka.

Tambahnya lagi, beliau berasa sudah melakukan yang terbaik untuk penduduk di sana (Kota Kemuning) dengan cara yang paling telus dan berintegriti

Untuk rekod, Ganabatirau mengekalkan kerusi Parlimen Klang untuk DAP dengan majoriti 91,801 undi dalam pertandingan tujuh penjuru. Antara yang turut bertanding di Klang ialah Deepak Jaikishen sebagai calon Bebas.

Kerusi Kota Kemuning pula dimenangi dengan majoriti dengan majoriti 21,639 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Perkara menarik mengenai Kota Kemuning ialah kerusi ini ditandingi oleh PKR. Ia diwakili oleh Shuhaimi Shafiei selama dua penggal.

BACA JUGA: Retorik ‘salah DAP’ bakal berkumandang