Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Pengarah MAMPU

Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan MAMPU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan hari ini.

“Datuk Rodzi Md Saad telah dilantik sebagai Ketua Pengarah MAMPU yang baharu berkuat kuasa pada 30 Mei 2023 (Selasa) menggantikan Datuk Seri Dr. Yusof Ismail,” katanya.

Rodzi, 59, berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuklah keselamatan dan pengurusan bencana.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak 15 Julai 2021.

Pada masa sama, kenyataan itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Yusof atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada MAMPU.