Salahuddin akui wujud ugutan, ancaman bunuh tangani kartel minyak masak

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui kerajaan melalui pasukan penguatkuasaan kerap berdepan dengan ugutan dan ancaman bunuh daripada pihak tertentu sepanjang melakukan pemantauan aktiviti penyeludupan minyak masak daripada kartel-kartel.

Menurutnya, beliau tidak menafikan bahawa wujud kartel yang terdiri daripada pembekal dipercayai terlibat dengan isu ketirisan minyak masak bersubsidi.

Namun, Ahli Parlimen Kulai itu berkata, usaha pihaknya tidak berhenti sebaliknya akan berdepan dengan pihak-pihak tersebut dan berunding bagi memastikan masalah berkenaan dapat diatasi.

Salahuddin Ayub

“Adakah berlaku ketirisan (bekalan minyak masak) atau penyelewengan? Ada, saya tidak mahu jadi menteri yang munafik.

“Jadi, kita hadapi. Cara hadapi, itu skill (kemahiran) kita, cara kita, sebab mereka ini pemain-pemain industri.

“Nak langgar sebarangan tidak boleh, mereka pembekal,” dipetik Sinar Harian.

Dalam masa sama, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, keperluan minyak masak bersubsidi untuk rakyat adalah sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan.

Beliau berkata, pegawai penguatkuasa dengan bantuan kementerian akan menggunakan kuasa sepenuhnya bagi mengawal dan memastikan keberadaan bekalan barangan itu mencukupi di pasaran.

“Gula kita perlukan minimum 42,000 metrik tan sebulan. Itu bahan-bahan asas yang mesti berada di pasaran, rakyat boleh dapat untuk beli.

“Sebarang penyelewengan, berlakunya penyorokan atau seludup ke luar sempadan, saya rasa setiap minggu ada dalam kalangan mereka yang ditangkap dan didakwa di mahkamah,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Salahuddin jadi ‘spy’ di Terengganu pantau kenaikan harga makanan