‘Sekejap saja rakyat Kelantan marah air karat, nanti pilihan raya Pas mainlah isu agama’

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, adalah tidak wajar apabila sebahagian besar rakyat di Kelantan masih gagal mendapatkan bekalan air bersih, tetapi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) di syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dihadiahkan sagu hati Aidilfitri sebanyak RM10,000.

Naib Ketua AMANAH Rantau Panjang itu berkata, Pas tidak pernah menghiraukan kebajikan rakyat Kelantan seperti dibuktikan melalui tindakan mereka yang pernah memberikan bonus RM50,000 ketika pandemik Covid-19 kepada semua Exco negeri termasuk Menteri Besar.

Baginya perbuatan Pas itu didorong faktor “emosi” rakyat Kelantan yang hanya marah sekejap, namun akan kembali menyokong parti tersebut ketika pilihan raya apabila dipancing dengan isu agama.

“Semua tahu kualiti air yang dibekalkan karat sehingga rakyat mendapat air karat. (Tapi) ALP mendapat bonus RM10,000 adalah satu benda yang sangat tak kena dan tak patut.

Syam Ghaz

“Sebelum ini, kerajaan Kelantan pun mendukacitakan rakyat apabila waktu rakyat tengah susah akibat Covid-19, dia beri bonus kepada semua Exco termasuk Menteri Besar sebanyak RM50,000 seorang.

“Pas Kelantan tak hiraukan semua itu sebab bagi dia rakyat Kelantan ini hanya marah seketika.

“Waktu pilihan raya apabila dia gunakan sentimen agama dan kaum, pengundi-pengundi akan menyokong dia balik,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau yang dikenali sebagai Syam Ghaz menambah, hasil pertemuannya dengan beberapa ibu bapa dalam satu mesyuarat PIBG baru-baru ini juga mendapat respon yang kurang baik berkenaan isu pemberian bonus kepada ALP AKSB.

Mereka mempersoal mengapa paip-paip rosak di Kelantan tidak dibaiki ketika kerajaan mempunyai wang, sebaliknya bonus pula diberikan kepada sembilan ALP itu.

“Sememangnya (ada) maklum balas di bawah. Saya baru balik dari mesyuarat PIBG, rata-rata ibu bapa ialah rakyat umum tidak terlibat dengan politik.

“Apabila kita sentuh sedikit pasal air, sentuh sikit pasal bonus, mereka terkesan. Kenapa duit yang banyak patut diguna untuk menyelesaikan masalah air, tidak dimanfaat tetapi duit itu jadi ghanimah kepada segelintir ALP,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menyentuh soal pemberian wang ehsan hasil daripada royalti petroleum yang dibayar Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan.

“Nak kata Kelantan tiada duit, sekarang ni Kelantan sudah menerima duit hasil daripada petroleum di tengah laut yang dinamakan wang ehsan setiap tahun.

“Ke mana duit itu menghilang dan kenapa duit itu tidak diuruskan secara baik untuk memastikan bekalan air bersih sampai kepada rakyat?” soal Syam Ghaz lagi.

BACA JUGA Masalah air Kelantan takkan selesai dengan peruntukan