Anwar balas kenyataan pembelaan Awang Solahuddin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjawab kenyataan pembelaan Datuk Awang Solahuddin Hashim semasa pengurusan kes oleh Timbalan Pendaftar Aisya Falina Abdullah.

Merujuk kepada waktu selepas pilihan raya umum, Anwar menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi berkaitan dengan usaha Perikatan Nasional mendapatkan akuan bersumpah.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui bahawa BN menyokongnya tanpa surat akuan manakala PN menghantar 115 akuan berkanun. Beliau menambah bahawa beliau tidak mengetahui berkenaan perjumpaan wakil BN dan GPS dengan Agong.

Anwar menafikan sekerasnya dakwaan Awang bahawa terdapat helah dan komplot dengan pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyebabkan 10 orang yang menandatangani akuan berkanun menarik diri.

Berkaitan kes Jana Wibawa dan tuduhan bahawa Perikatan Nasional menerima wang syarikat perjudian, Anwar mahu Awang membuktikan perkara tersebut.

Kenyataan Anwar pada ketika itu adalah berdasarkan penyiasatan kes yang berlangsung.

Anwar turut menafikan dakwaan yang dibuat oleh Awang semasa memberikan temuramah kepada media di lobi parlimen.

Selain itu, Anwar turut meletakkan beban bukti ke atas Awang berhubung dengan video TikTok yang dibuat oleh pihak ketiga.

Laporan temuramah yang diterbitkan oleh Malaysiakini dan pembelaan Awang turut dinafikan.

Kenyataan pembelaan bahawa Awang tidak merujuk kepada Anwar turut dinafikan kerana Awang menggunakan “Perdana Menteri ke 10 dan PM10.

Penafian yang difailkan oleh Awang bahawa beliau tidak memfitnah disifatkan sebagai penafian kosong oleh Anwar.

Anwar mendakwa kenyataan Awang berkaitan usul undi percaya pada 19 Disember yang digambarkan sebagai illegal bumber adalah berniat jahat dan merupakan bukti prima facie.

Turut dinafikan ialah dakwaan Awang bahawa Anwar menggunakan strategi mengugut pembangkang. Awang dikehendaki membuktikan dakwaan tersebut.

“Dakwaan defendan mengenai ugutan adalah kejam, keji dan palsu,” kata Anwar dalam kenyataan balasnya.

Merujuk kepada perbandingan di antara Anwar dan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dakwaan tersebut dinafikan dan beban pembuktian diletakkan ke atas Awang.

Berkenaan dakwaan bahawa kerajaan menjalankan penyiasatan terpilih, Anwar menegaskan agensi penguatkuasaan menjalankan penyiasatan secara adil, bebas, saksama, tanpa pilih kasih.

Kenyataan Awang yang merujuk kepada kes Pandora Papers sebaliknya menunjukkan Awang melemparkan fitnah serius untuk menjejaskan reputasi dan integriti peribadi Anwar.

Pengurusan kes sedang berlangsung setelah Anwar memfailkan kes fitnah terhadap Awang selepas Awang tidak memohon maaf di atas kenyataan fitnah yang dibuatnya.

Anwar diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Datuk N Sankara Nair. Pasukan tersebut turut dianggotai Jaden Phoon Wai Ken and Wong Guo Jin.

Mahkamah telah mengarahkan permohonan interlokutari difailkan oleh pihak plaintif dan defendan menjelang 15 Jun. Pengurusan kes seterusnya akan dibuat pada tarikh yang sama.

Merujuk kepada dakwaan Awang bahawa Anwar pernah dipenjarakan berdasarkan rekod mahkamah, Anwar membalasnya dengan menyatakan bahawa beliau menerima pengampunan diraja pada 16 Mei 2018.

“Defendan tidak mengambil langkah munasabah untuk mengesahkan kesan pengampunan. Pengampunan penuh memadamkan segala pertuduhan, sabitan dan hukuman.

Anwar juga meminta bukti bahawa beliau mempunyai dendam politik.

Anwar turut menafikan kenyataan Awang yang mendakwa perjuangan Anwar secara berprinsip itu hanya omong kosong ekoran pelantikan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Mara.

Secara keseluruhan Anwar menyatakan bahawa Awang tidak boleh menggunakan pembelaan ulasan saksama sebagai hujah pembelaan.

(LANJUT MENYUSUL)