Anwar peroleh lanjutan dua minggu failkan penyataan pembelaan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh lanjutan dua minggu untuk memfailkan penyataan pembelaan terhadap saman fitnah RM150 juta yang difailkan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Peguamnya, lliff Benjamin Suhaimi mengesahkan keputusan pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi awal hari ini.
“Kami dapat (lanjutan bermula hari ini untuk selama) dua minggu. Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Julai,” kata peguam itu ketika dihubungi media.
Sementara itu, peguam Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali turut mengesahkan keputusan lanjutan masa sehingga 14 Jun untuk Anwar memfailkan pernyataan pembelaannya.
Arahan awal Mahathir adalah pasukan guamannya perlu membantah permohonan lanjutan atas alasan bahawa kes ini adalah berkepentingan awam dan mendesak.
Mahathir memfailkan saman ekoran dari ucapan Anwar di Kongress kebangsaan khas PKR pada 18 Mac. Anwar dikatakan mendakwa bahawa Dr Mahathir mengumpulkan kekayaan peribadi semasa berkuasa.
BACA JUGA: Anwar akan jawab di mahkamah saman malu Dr Mahathir