Awesome TV: Empat persatuan filem bela Fahmi
Empat persatuan perfileman hari ini serentak mengecam tindakan stesen penyiaran swasta Awesome TV yang biadab terhadap Fahmi Fadzil susulan gesaan Menteri Komunikasi dan Digital itu supaya menyelesaikan segera isu hutang tertunggak baru-baru ini.
Persatuan terbabit ialah Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).
Keempat-empat persatuan itu mendesak Awesome TV membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Fahmi selain bertanggungjawab menyelesaikan isu pembayaran melibatkan penerbit dan penggiat seni.
Presiden PFM) Pansha berkata, Awesome TV memberi gambaran seolah-olah Fahmi tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan permasalahan industri dan memperjuangkan nasib penggiat seni yang tertindas.
“Walaupun banyak kali membuat rundingan dengan Awesome TV dilakukan, namun penyelesaiannya gagal dan hambar.
“Mengheret penerbit dan penggiat seni ke mahkamah untuk menyelesaikan isu dalaman penyiar, bukanlah satu solusi yang bijak, baik dan jujur,” katanya.
Bagi FDAM pula, kenyataan balas stesen televisyen yang mula bersiaran pada 2020 itu sebagai amat tidak beretika dan tidak berbudi bahasa selain amat mengecewakan.
Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim atau dikenali Mat London berkata, pihaknya khuatiri isu tersebut akan dieksplotasi oleh pihak tertentu untuk dijadikan agenda dan polemik politik.
Sementara itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi menasihatkan supaya Awesome TV dan vendor terlibat secara beradab bertemu secara langsung dengan menteri bagi menjelaskan permasalahan dalaman yang dihadapi.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan saluran yang boleh ditonton menerusi Astro di saluran 123 itu juga menyinggung perasaan seluruh penggiat seni tempatan selain mencabar kesabaran dan sentimen anak seni tempatan.
Gesaan sama disuarakan Presiden PROFIMA, Khalil Saleh apabila menasihatkan Awesome TV patut memiliki sikap yang lebih profesional, bertanggungjawab dan menerima baik teguran daripada menteri.
Pada 29 Mei lalu, Fahmi mahu Awesome TV melunaskan segera isu hutang tertunggak jika ada termasuk kes saman membabitkan beberapa penerbit.
Beliau berkata, pihaknya telah bertemu pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) stesen itu bagi memastikan kontroversi tidak berlanjutan, pada 15 Mei lalu.