‘Belum ada lagi Perdana Menteri kerap hadir ke Sabah sampai Azizah pun runsing’

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sudah tiga kali beliau datang ke Sabah semenjak menjadi Perdana Menteri sehingga mengundang tanda tanya isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Beliau secara berseloroh berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Penampang, Kota Kinabalu hari ini.

“Tiga kali saya sudah datang ke Sabah ini dalam masa singkat. Belum ada lagi Perdana Menteri hadir ke Sabah begitu kerap.

“Sampai Azizah pun runsing, dia tanya, abang, apa sebab pergi ke Sabah kerap ni?

“Saya kata, ada rahsia yang saya akan beritahu kemudian,” ujarnya sambil tersenyum sebelum memberitahu bahawa kekerapannya ke Sabah demi memenuhi tanggungjawab.

Menteri Kewangan itu berkata, pertemuannya dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan beberapa masalah berkaitan kepentingan rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Ketua Menteri menyebut kepada saya sementara kerajaan di bawah pimpinan beliau kuat dan padu, beliau menyatakan ada masalah-masalah yang patut diselesaikan dengan baik, tidak cukup dengan kekuatan negeri tetapi harus diselesaikan dengan kerajaan Persekutuan. Di antara isu besar adalah isu air dan jalan raya,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan negeri untuk menyelesaikan masalah air bersama dengan kerajaan negeri esok pagi.

BACA JUGA Komitmen kerajaan selesai isu air di Kelantan, Sabah tidak gugat kuasa negeri