Buat laporan polis terhadap Sanusi, gesa Lim
Rakyat Pulau Pinang digesa membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan dari tindakannya yang tidak mengiktiraf keberadaan negeri Pulau Pinang.
“Rakyat Pulau Pinang harus membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana menimbulkan ketidaktenteraman awam dan cuba menimbulkan permusuhan antara penduduk Kedah dan Pulau Pinang dengan mendakwa Pulau Pinang masih milik Kedah,” kata Ahli Parlimen Bagan merangkap Adun Ayer Putih Lim Guan Eng.
“Bukan hanya 1.8 juta rakyat Pulau Pinang malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh kedua-duanya juga telah menafikan Muhammad Sanusi kerana gagal memahami undang-undang sehingga ke tahap tidak menghormati malah memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan.”
Semalam Lim yang juga pengerusi DAP kebangsaan menyifatkan tuntuan Sanusi sebagai usaha mengalihkan perhatian dari masalah air Kedah.
Hari ini beliau menyatakan bahawa laporan polis wajar dibuat kerana tindakan Sanusi mengancam negeri Pulau Pinang.
“Dengan memprovokasi dan mempersoalkan kedaulatan dan hak Pulau Pinang untuk wujud sebagai sebuah negeri, Muhammad Sanusi mampu mengancam keamanan dan keselamatan negara.
“Laporan polis harus dibuat oleh 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk mendesak tindakan terhadap Muhammad Sanusi bagi melindungi Pulau Pinang dan menghalang “penceroboh politik” daripada menceroboh negeri kita demi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan ini dengan aman dan menikmati kemakmuran.”
Dalam pada itu, Lim turut menempelak Pas Pulau Pinang dan menyuruh mereka untuk tidak bertanding kerana tidak dapat mewakili rakyat Pulau Pinang dan gagal mempertahankan perlembagaan.
“PAS Pulau Pinang harus menyatakan pendirian mereka sama ada mereka tidak akan bersetuju dengan Muhammad Sanusi. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka PAS tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya negeri akan datang sekiranya mereka tidak dapat mewakili sepenuhnya kepentingan rakyat Pulau Pinang serta mempertahankan, melindungi dan memelihara Perlembagaan Persekutuan.”