Harga barangan asas bersubsidi terkawal, tiada kenaikan – Menteri
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan jaminan bahawa barangan asas bersubsidi masih lagi dikawal bersandar dapatan bahawa tiada aduan langsung diterima sepanjang musim perayaan berkaitan kenaikan harga produk tersebut.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan dakwaan berhubung kenaikan barangan asas perlu berdasarkan kepada fakta dan jika benar berlaku, ia perlu dilaporkan untuk tindakan segera pihak penguatkuasaan.
“Dia mesti berikan kepada kami fakta. Dari mana berlakunya kemungkinan aduan itu, apa jenis barangnya, hantar cepat kepada KPDN. Kita akan siasat serta-merta.
“Tetapi yang saya nak pastikan tadi, setiap harga barangan bersubsidi, harga telah ditetapkan. Harga minyak masak paket ditetapkan, ayam bulat ditetapkan. Beras putih untuk rakyat (juga) ditetapkan harga, (jadi) itu tak mungkin belaku kenaikan
“Tapi sekiranya berlaku kenaikan atau aduan, laporkan cepat, terus hantar lokasi kepada kami dan kami akan datang serta merta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Taman Keramat, Selangor.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pertanian Ir Izham Hashim.
Sementara itu, mengenai perancangan jangka panjang KPDN mengawal harga barang, Salahuddin berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana kerajaan setiap hari membuat pemantauan dalam memastikan harga barangan asas terkawal.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata mana-mana pihak yang cuba memanipulasi harga barang bersubsidi mahupun melakukan penyorokan barangan itu akan dikenakan tindakan perundangan.
“Tanpa perancangan jangka masa panjang pun, kerajaan setiap hari mengawal harga barangan asas dan (ianya) sentiasa terkawal
“Harga ayam bulat, beras putih, minyak masak semuanya dikawal oleh kerajaan dengan harga yang ditetapkan. Jadi tak perlu bimbang dengan perancangan atau pun adanya kekurangan barangan atau rakyat terpaksa membeli dengan harga tinggi.
“Tidak wujud (jika rakyat beli barang dengan harga tinggi). Kita ada program mengawal harga, kita ada Skim Harga Maksimum setiap kali berlakunya perayaan, dan ada Inisiatif Rahmah termasuk subsidi.
“Kita telah tentukan pada barang-barang tertentu, jadi jangka panjang ke pendek ke sederhana ke, kerajaan akan mengawal keseluruhan rantaian nilai itu supaya rakyat tetap dapat membeli barangan asas dengan harga yang ditetapkan,” ujarnya.
Terdahulu beliau merasmikan Jualan Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang digabungkan buat pertama kali di mana Jelajah Ehsan adalah cetusan idea kerajaan negeri Selangor manakala Jualan Rahmah adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan.
BACA JUGA: Jualan Rahmah, Jualan Ehsan banyak membantu rakyat
Â