Kanak-kanak empat, lima tahun diberi vaksin pneumokokal percuma

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan dos vaksin pneumokokal secara percuma kepada kanak-kanak berusia empat dan lima tahun mulai Jun ini.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif “catch-up pneumokokal” (CHUP) itu akan berjalan serentak melibatkan semua fasiliti kesihatan primer kerajaan di seluruh negara.

“Berdasarkan data KKM, kadar discaj akibat penyakit pneumokokal invasif di hospital KKM adalah tinggi di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.

“Maka, KKM mengambil inisiatif memperluaskan pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak yang lahir pada tahun 2018 dan 2019 bagi mengoptimakan perlindungan terhadap penyakit pneumokokal invasif di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023 dan juga melancarkan Program Pemberian Imunisasi Catch-up Pneumokokal (CHUP) di Putrajaya hari ini.

Program pemberian imunisasi catch-up pneumokokal ini akan berjalan serentak seluruh negara bermula 1 Jun 2023, dan akan diteruskan sehingga 31 Mei 2024.

Pelaksanaan program ini melibatkan semua fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.

Zaliha berkata langkah tersebut bersesuaian dengan inisiatif KKM pada tahun ini untuk memperluaskan pemberian imunisasi pneumokokal kepada kanak-kanak yang lahir pada tahun 2018 dan 2019.

“Ini adalah kerana mereka ini tidak termasuk dalam kumpulan sasaran pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata sehingga kini di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak, terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin.

Katanya ini termasuk Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, Difteria, Tetanus (Kancing Gigi), Pertussis (Batuk Kokol), Haemophilus influenza type b, Polio, Measles (Campak), Mumps (Beguk) dan Rubella. Bagi murid perempuan berumur 13 tahun, vaksin Human Papilloma Virus (HPV) diberi.

Di Sarawak pula, vaksin Japanese Encephalitis turut diberi dan terbaharu vaksin Pneumokokal yang mula diberikan sejak 1 Disember 2020.

Kini, pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi, ujarnya.

Pencapaian ini juga telah diperakui oleh WHO, kata Zaliha.

“Bertepatan dengan Tema “Tingkatkan liputan, Kurangkan keciciran’’ juga, saya berbangga dengan usaha anggota kesihatan di lapangan yang giat mengesan kanak-kanak yang cicir imunisasi dan terlepas jadual imunisasi rutin.

“Ini penting bagi memastikan liputan imunisasi di semua kawasan berada di tahap optimum, kerana ia dapat meminimakan risiko penularan jangkitan penyakit cegahan vaksin.

“Hasrat KKM adalah untuk melindungi semua kanak-kanak dari risiko jangkitan penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin, kerana penyakit-penyakit ini bukan sahaja boleh berjangkit malah ia boleh mangakibatkan komplikasi yang teruk sehingga boleh membawa maut,” katanya.

BACA JUGA: Selangor sedia 2,000 dos vaksin Pneumokokal percuma jemaah haji