Kota Kemuning kekal untuk DAP, kata MB Selangor

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning akan kekal untuk DAP setelah penyandangnya V Ganabatirau menyatakan hasrat untuk menumpukan perhatian kepada kerusi parlimen Klang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia berdasarkan perjanjian antara komponen parti di dalam Pakatan Harapan (PH) bahawa kerusi yang dimenangi mana-mana parti akan kekal diberikan kepada parti tersebut.

“Setakat perjanjian, (kerusi) yang dah menang itu akan kekal kepada parti atau rakan kongsi. Itu mutlak.

“Kalau AMANAH, kita akan kekalkan AMANAH. Ganabatirau (ialah) DAP. Kalau Ganabatirau tidak dicalon…yang pentingnya parti.

“Jadi kita akan kekalkan untuk rakan kongsi kita iaitu DAP bertanding di Kota Kemuning,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Taman Keramat, Selangor, hari ini.

Persoalan ini dibangkitkan kerana Kota Kemuning pernah diwakili oleh calon PKR Shuhaimi Shaifiei selama dua penggal.

Pembahagian kerusi 83 peratus selesai

Pada masa sama, Ahli Parlimen Gombak itu memaklumkan perbincangan pembahagian kerusi antara PH dan Berisan Nasional (BN) di Selangor telah mencapai 83 peratus dan dijangka akan selesai pada Jun ini sebelum pembubaran automatik pada 25 Jun.

Beliau memberi bayangan bahawa calon yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor akan menggabungkan calon muka baharu dan calon lama.

“Kita akan gabungkan yang baru dan yang lama. Kita juga sedang berbincang dengan panjang lebar dengan rakan kongsi.

“Perbincangan telah berlaku beberapa kali di peringkat Persekutuan, dan Selangor telah mencapai lebih 83 peratus selesai.

“Jadi saya percaya dalam masa terdekat akan diputuskan Majlis Presiden masing-masing atau Jawatankuasa Perpaduan. Menjelang pembubaran kita dah selesai isu pengagihan,” katanya.

Beliau menambah, setakat ini perkembangan perbincangan antara PH dan BN sangat baik, dengan kedua-dua gabungan parti berpuas hati dengan pengagihan kerusi yang dibincangman

“‘Progress’ yang sangat baik. Saya boleh katakan 83 peratus (selesai) setakat semalam.

“Kedua-dua pihak setuju, tapi belum diputuskan oleh Majlis Jawatankuasa Tertinggi. Kalau ada perubahan pun saya rasa tak begitu besar. Tapi di Selangor saya boleh katakan 83 peratus,” katanya lagi.