Laporan kepada SPRM tunjukkan PM Anwar tidak cakap kosong

Laporan seorang ahli perniagaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin bahawa beliau mempunyai bukti bahawa parti tertentu telah menerima dana daripada syarikat perjudian membuktikan kenyataan Datuk Seri Anwar sebelum ini bukan cakap kosong.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, laporan SPRM itu membuktikan apa yang dikatakan Anwar sebelum ini ada asasnya dan perlukan siasatan lanjut.

“Sekarang kita serahkan kepada SPRM untuk menyiasatnya sebab sudah ada maklumat yang diberikan bukan lagi kenyataan umum sebagaimana yang dikatakan Azalina sebelum ini,” kata Sany kepada Harapan Daily.

Rasdan bercakap kepada media sebelum membuat laporan kepada SPRM dengan mendedahkan dokumen mengenai dana judi.

Kelmarin, Rashdan Yusof, 52, membuat laporan kepada SPRM mengenai perkara ini.

“Maklumat yang saya ada disokong oleh dokumen tertentu. Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu,” kata Rashdan yang sebelum ini dikatakan rapat dengan Bersatu, salah satu parti parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Rashdan dalam kenyataan berkata, beliau tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik atau NGO.

Sumber SPRM mengesahkan kenyataan Rashdan telah dirakam oleh pihaknya.

Sebelum ini, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina menyatakan bahawa SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa PN ada menerima dana judi kerana kenyataan itu terlalu umum.

Namun beliau kemudiannya menegaskan tidak pernah berkata, SPRM telah menghentikan siasatan terhadap dakwaan itu.

Ekoran itu, Pas mendakwa Datuk Seri Anwar telah menipu dalam kenyataannya sebelum ini apabila berkata kemungkinan PN menerima dana dari syarikat judi.

Ada juga pemimpin Pas yang menuntut Anwar meminta maaf.

Dengan perkembangan terbaru, SPRM dijangka dapat melengkapkan siasatan terhadap dakwaan bahawa towkay judi ada memberikan dana kepada PN dalam kempen pilihanraya sebelum ini.

Pada 5 Disember 2022, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, dia berkata dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.