Lim Kit Siang akui kegagalannya

Mantan pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengakui bahawa beliau gagal kerana cadangannya untuk menjemput Pas menyelesaikan masalah rakyat disalahfahami dan tidak kesampaian.

“Apa yang saya cuba usahakan sejak 14 bulan lalu gagal kerana presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyangka cadangan saya agar Pas menyertai kerajaan Perpaduan ialah satu undangan rasmi dan bukannya pandangan peribadi dan tidak rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan dari dakwaan Hadi berkenaan jemputan untuk menyertai kerajaan perpaduan yang sudahpun disangkal oleh Anwar.

Lim turut menempelak ketua penerangan Pas Khairil Nizam Khirudin yang mendedahkan bahawa Lim sebagai penasihat DAP yang menjemput Pas menyertai kerajaan.

“Khairil salah. Saya bukan penasihat DAP.”

Cadangan kerjasama pusat dan negeri selesai masalah

Lim menjelaskan cadangan peribadinya yang sebenar adalah agar kerajaan pusat bekerjasama dengan Pas untuk menyelesaikan masalah air yang tidak berkesudahan selama 60 tahun dan pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Benarkan saya jelaskan bahawa cadangan kerjasama di antara Kerajaan Perpaduan dan Pas untuk menyelesaikan masalah air selama 60 tahun dan pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Kedah ialah idea peribadi saya dan bukannya DAP kerana saya tidak membincangkan perkara ini dengan setiausaha Agung DAP Anthony Loke atau pimpinan DAP lain.

Lim menambah bahawa itulah sebabnya beliau menolak tawaran untuk menjadi penasihat parti.

Beliau turut mengkritik Hadi kerana menginginkan peranan yang lebih dominan di dalam kerajan berdasarkan hakikat Pas mempunyai bilangan kerusi parlimen terbanyak.

Adakah Hadi tersalah sangka dengan menganggap jemputan peribadi untuk menyelesaikan masalah di ketiga-tiga negeri sebagai satu jemputan rasmi untuk menyertai kerajaan? Pastinya, Hadi sedar bahawa ia adalah idea peribadi saya kerana saya tidak membincangkan perkara ini dengan Loke, pimpinan DAP mahupun pemimpin dan menteri di dalam kerajaan.

Lim turut mencabar Pas berubah dengan melakukan tiga perkara selain menyokong titah Yang Di-Pertuan Agong.

“Walaupun saya menyokong idea untuk Pas menyertai kerajaan perpaduan Anwar, Pas perlu menunjukkan yang mereka bersedia untuk menunjukkan perubahan dengan menyokong titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam negara.

“Sebagai permulaan, adakah Hadi bersedia untuk menarik semula dan memohon maaf untuk pelbagai tuduhan liarnya sebelum ini yang dibuat terhadap DAP dan saya?

“Kedua, adakah Ahli-ahli Parlimen Pas akan menunjukkan yang mereka akan berhenti memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan dan sebaliknya menjadi contoh tauladan sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kestabilan politik dan perpaduan nasional?

“Ketiga, adakah Pas akan menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia?”

Biarlah Hadi jelaskan sama ada dia memikirkan yang cadangan cadangan saya adalah cadangan rasmi bagi pihak Kerajaan Perpaduan Anwar dan biar jelaskan sama ada dia akan menerima tiga cadangan saya sebelum Pas boleh menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar ini.

Jelas sekali Ketua Penerangan Pas tidak berhubungan dengan Presiden Pas apabila dia mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal yang mengatakan sayalah yang telah terlebih dahulu menjemput Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pun telah menafikan bahawa Pas dijemput menyertai kerajaan.

Hadi mengapi-apikan sentimen perkauman

Lim turut mengkritik Hadi yang memberikan gambaran pemimpin Islam tetapi memainkan naratif perkauman. Ini adalah berdasarkan laporan bertajuk “Pemerhatian Media Sosial dalam Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia” yang dihasilkan dari kerjasama golongan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Hadi gagal untuk menunjukkan akhlak sebagai seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab, jujur, dan dihormati semasa tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 pada bulan November tahun lepas, sebaliknya Hadi dilihat sebagai pemimpin yang paling galak dalam menggunakan naratif berasaskan etnik di media sosial dalam waktu-waktu sebelum PRU15 menurut satu laporan bebas yang diterbitkan semalam.”

Laporan yang bertajuk “Pemerhatian Media Sosial dalam Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia” mengatakan Abdul Hadi dan partinya terlibat serta dalam menghasut dengan tidak menegur mahupun menghentikan pengguna media sosial dari terus menyebarkan kebencian hubungan antara kaum.

“Pemain ini terus menghidupkan naratif kebencian, begitu juga dengan komen-komen yang dibuat pengguna yang dibiarkan mereka dengan berdiam diri, jadi, kita boleh katakan yang mereka juga terlibat kerana mereka tidak menegur perbuatan ini.

Laporan tersebut memetik hantaran media sosial Abdul Hadi yang dibuat sebelum pilihan raya umum di dalam bulan November 2022, menunjukkan Hadi secara aktif telah menyebarkan sentimen anti-Cina dan menyebarkan permusuhan terhadap DAP melalui bahasa yang digunakan yang kemudiannya ditambah teruk dengan salah maklumat dan pengeliruan.

“Adakah Hadi akan memohon maaf untuk peranan tidak bertanggungjawab dan tidak jujurnya di media sosial dalam tempoh sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 seperti yang didedahkan oleh laporan ini?” tanya Lim.