Mat Sabu: Jangan sebar fahaman mazhab ekstrem

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berharap penyebaran fahaman mazhab ekstrem di negara Muslim lain tidak meresap ke Malaysia kerana ia boleh menyesatkan kumpulan masyarakat Islam lain dan memudaratkan negara.

“Memang amat membahayakan, sekarang kita tahu ia diasaskan oleh pihak tertentu. Apa yang berlaku di Iraq dan Syria digunakan isu mazhab padahal mereka telah hidup damai beribu tahun sebelum ini.

“Jadi fahaman itu janganlah dibawa sehingga umat Islam (di Malaysia) terperangkap. Negara orang Islam ini perlu keluar daripada fahaman yang boleh menghancur dan melemahkan dunia Islam ini,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga presiden AMANAH mengesyorkan Malaysia mencontohi Arab Saudi yang memulakan langkah perdamaian dengan Iran.

“Kita harap keinsafan berlaku, sekarang ini Saudi telah menghulurkan tangan kepada Iran semula dan berlaku perundingan serta perbincangan. Kita harap perubahan yang berlaku pada geopolitik ini akan membawa satu era yang baharu kepada dunia Islam,” ujarnya lagi.

Langkah perdamaian Saudi – Iran diusahakan oleh China sebagai sebahagian daripada dasar luarnya.

Sebelum itu, Mohamad melancarkan buku biografinya Juang sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Buku itu antara lain, menumpukan perjalanan hidupnya dan sudut pandang beliau dalam isu politik tempatan dan antarabangsa.