Nurul Izzah disebut bakal bertanding PRN Pulau Pinang

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar disebut-sebut akan bertanding pada pilihan raya negeri Pulau Pinang dan bakal dilantik ke jawatan penting sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya terus mengekalkan penguasaan di negeri itu.

Laporan FMT yang memetik sumber berkata penyertaan Nurul Izzah dalam pilihan raya negeri boleh meningkatkan peluang PKR untuk mengekalkan kerusi dan membantu mendapatkan undi daripada golongan wanita.

“Beliau akan diamanahkan dengan portfolio penting dalam pentadbiran negeri sekiranya PH mendapat mandat daripada rakyat Pulau Pinang,” kata sumber yang rapat dengan seorang pemimpin PH, petik laporan itu hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu, Nurul Izzah gagal mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila tewas kepada calon Pas Fawwaz Mohamed dengan majoriti 5,272 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Nurul Izzah yang merupakan anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim kini adalah pengerusi bersama sekretariat badan penasihat khas Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, kata laporan itu setakat ini tidak dapat dipastikan kerusi manakah Nurul Izzah akan bertanding. Ketika ini terdapat 15 kerusi majoriti Melayu daripada keseluruhan 40 kerusi DUN Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum ini dilaporkan berkata DUN Pulau Pinang akan dibubarkan pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun.

Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan juga dijadual membubarkan DUN mereka dalam dua minggu terakhir Jun ini.