Petunjuk awal ekonomi lihatkan dasar fiskal, Belanjawan 2023 berhasil – PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata petunjuk awal ekonomi memperlihatkan bahawa dasar fiskal Kerajaan dan langkah Belanjawan 2023 telah membuahkan hasil.
Perdana Menteri berkata perkara itu dapat dicapai meskipun Kerajaan Perpaduan menghadapi pelbagai cabaran yang diwarisi sejak mengambil alih pentadbiran negara pada November 2022.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai mengulas sesi dialog yang diadakan dengan para pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi di Putrajaya semalam.
Katanya perbincangan itu turut melibatkan hal berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.
“Saya turut ulangi komitmen Kerajaan untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tatakelola serta mempertegak keadilan sosial untuk semua rakyat Malaysia, selaras dengan visi Malaysia MADANI,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
BACA JUGA: Anwar: Tawaran bukan daripada saya mahupun pimpinan kerajaan