Suspek kes 1MDB meninggal akibat strok lepas sebulan balik Malaysia

Seorang lelaki yang dikatakan menjadi sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan meninggal dunia tidak sampai sebulan selepas dia kembali ke negara ini.

Berita mengenai kematian ahli perniagaan itu disiarkan portal Malaysiakini, memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mendiang adalah Kee Kok Thiam merupakan individu yang sama ditahan pihak berkuasa itu pada 3 Mei lalu.

Kematiannya diketahui melalui pengumuman obituari menyatakan upacara pengebumian akan berlangsung di Kepong hari ini.

Sebelum ini, Kok Thiam, 56, berada di luar negara selama lima tahun.

Sementara itu, kenyataan firma guaman keluarga si mati berkata punca kematian rakan subahat ahli perniagaan dalam buruan Jho Low itu disebabkan serangan strok secara tiba-tiba.

Firma guaman Valen, Oh & Partners yang mendakwa mewakili mendiang dan keluarga mengesahkan perkara itu berkata suspek dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd itu meninggal dunia di sebuah hospital dua hari lepas (29 Mei).

“Kami menggesa semua pihak untuk tidak melayan sebarang spekulasi mengenai kejadian malang ini dan memberi ruang kepada keluarga untuk menzahirkan kesedihan atas pemergiannya,” kata firma guaman itu dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Mei, media melaporkan lelaki itu yang disiasat SPRM kerana disyaki menerima wang daripada dana 1MDB dan SRC International telah hilang sejak 2018 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (klia2) pada 3.30 pagi Rabu (3 Mei).

Sebelum ini dilaporkan bahawa Kok Thiam telah dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa visanya.

Dia diarahkan untuk pergi ke ibu pejabat SPRM pada pukul 10 pagi hari yang sama selepas tiba di tanah air.

Semalam Al Jazeera melaporkan semalam bahawa Kok Thiam memberitahu SPRM bahawa dia telah bertemu Jho Low dan buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, dan Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.