Syarikat Malaysia catat keuntungan lebih baik untuk suku pertama

Hampir kesemua syarikat utama di Malaysia mencatatkan keuntungan lebih baik untuk suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ini berikutan suasana ekonomi yang lebih baik selepas pembentukan kerajaan yang dianggap lebih stabil dan keluarnya Malaysia dan dunia dari kemelut Covid-19.

Menurut Malaysia Forward, Axiata Group Bhd mencatatkan keuntungan keuntungan bersih RM73.85 juta pada suku pertama tahun ini (1Q2023) berbanding kerugian bersih RM42.97 juta dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) pula melaporkan keuntungan dua suku berturut RM58.19 juta 1Q2023, susulan kenaikan penumpang antarabangsa tiga kali ganda lebih daripada suku sama 2022.

Pendapatan suku 1Q2023 naik kepada RM1.03 bilion daripada hanya RM570.85 juta suku yang sama tahun lepas.

KPJ Healthcare Bhd juga mencatatkan keuntungan dengan kenaikan 134.44% kepada RM51.9 juta daripada RM22.14 juta pada suku pertama 2023.

Ia susulan peningkatan lawatan pesakit dan kadar penghunian katil masing-masing kepada 821,126 pesakit daripada 786,421 pesakit dan 70 peratus daripada 48 peratus.

Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd, Farm Fresh Bhd, IOI Bhd, Chin Hin Group Bhd dan FGV Holding Bhd masing-masing juga catatkan kenaikan keuntungan walaupun berkurangan berbanding suku yang sama tahun lepas.

OSK Holding Bhd juga umumkan keuntungan bagi suku pertama 2023 yang meningkat pada RM115.09 juta berbanding RM84.44 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak 10.7% kepada RM2.27 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2023, berbanding RM2.05 bilion bagi tempoh sama, tahun lepas.

Begitu juga RHB Bank Bhd. Keuntungan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM761.67 juta daripada RM582.33 juta pada suku sama tahun lepas.

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM118.1 juta bagi tempoh sama 2023 (1Q2023), peningkatan 11.5% berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Mah Sing Group juga mencatatkan kenaikan untung bersih 16% kepada RM50 juta berbanding RM43.2 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Sunway Bhd pula meningkat kepada RM141.64 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, berbanding RM136.51 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Public Bank Bhd juga mengumumkan keuntungan bagi tempoh sama, kenaikan sebanyak 10.4% kepada RM2.21 bilion, berbanding dengan suku yang sama pada tahun 2022.