Tabika Kemas mahu lahirkan 100,000 ‘huffaz cilik’

Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mahu melahirkan seramai 100,000 kanak-kanak ‘huffaz cilik’ atau penghafaz al-Quran Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) menjelang tahun 2026.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program Tabika Pra Tahfiz Kemas itu merupakan nilai tambah kepada modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) yang memberi tumpuan khusus terhadap aspek pembelajaran ibadah dan pengajian al-Quran.

Menurut beliau program berkenaan akan dilaksanakan Julai ini dengan kerjasama Yayasan Pahang melibatkan aspek tadbir urus termasuk pengisian modul, teknik hafazan, pemantauan, perkongsian amalan terbaik dan latihan secara berterusan.

“Pelaksanaan program ini untuk menanam minat anak-anak menghafaz dan mencintai al-Quran di usia muda melalui kaedah menguasai hafazan surah lazim dalam Juz ‘Amma dan surah pilihan dengan Qiraat, Adab dan Tadabbur.

“Program ini menggabungkan elemen 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian selepas menyempurnakan sesi Libat Urus Program TABIKA Pra Tahfiz Kemas Bersama Masyarakat 2023 di Dewan Seri Lestari KKDW, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir timbalan menteri Datuk Rubiah Wang dan Pengarah Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Ahmad Zahid berkata Kemas turut menyasarkan penglibatan lebih 1,500 kanak-kanak bimbingannya supaya mampu untuk membaca dan manghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha dalam persiapan ke sesi persekolahan tahun satu menjelang akhir tahun ini.

Tambahnya jumlah peserta program itu akan ditambah secara berperingkat kepada 4,000 kelas (2024) dan 3,000 kelas (2025) dengan kesemua Tabika Kemas akan melaksanakan modul Pra Tahfiz menjelang tahun 2026.

Untuk rekod, jumlah Tabika Kemas di seluruh negara adalah sebanyak 10,701 buah membabitkan 216,322 murid.