Tuntutan ke atas Pulau Pinang mengancam kedudukan Yang Di Pertua Negeri

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Pulau Pinang mengecam dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa negeri itu adalah milik Kedah.

“Tindakan Sanusi yang mempersoalkan kesahihan Perlembagan Persekutuan atas status kedaulatan Pulau Pinang telah menggugat keharmonian masyarakat di negeri ini. Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

“Oleh itu, kedaulatan negeri Pulau Pinang adalah diiktiraf menurut Perkara Perlembagaan Persekutuan,” kata ketua AMK Pulau Pinang Muhammad Fadzli Roslan.

Fadzli berkata Sanusi sepatutnya tidak memainkan isu politik yang menggugat keharmonian masyarakat.

“Sanusi sepatutnya memberi fokus dalam pentadbiran negeri Kedah dan bukannya terus memainkan isu politik yang menggugat keharmonian masyarakat. Selain itu, Sanusi harus mengambil pengajaran daripada kes fitnah yang beliau kalah kebelakangan ini supaya berhujahlah dengan fakta dan asas,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Fadzli juga menyarankan pihak polis mengambil tindakan segera ke atas pemimpin nombor satu Kedah itu agar kedudukan Perlembagaan Persekutuan terus dihormati dan dipatuhi oleh semua.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mencabar Menteri Besar Kedah itu membawa isu tuntutan tersebut di mahkamah.

Jelasnya, jika pemimpin Pas itu serius mengenai dakwaan itu, mereka boleh menyelesaikan hal demikian di mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, pengerusi DAP kebangsaan Lim Guan Eng menggesa rakyat Pulau Pinang membuat laporan polis ke atas Sanusi.