Zahid tolak dakwaan Melayu, Islam terancam

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tuduhan kononnya kedudukan orang Melayu dan umat Islam dan orang Melayu terancam di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, komitmen kerajaan Malaysia Madani yang dianggotai oleh 19 parti akan terus mendukung perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika ada pihak yang menyatakan bahawa program-program untuk memperkukuhkan soal agama Islam (diadakan) ianya tidak sesekali akan meminggir atau menyingkir lain-lain agama, kaum atau budaya.

“Sudah tentunya komitmen kerajaan adalah untuk memperkukuhkan keharmonian di negara ini,” katanya menerusi sidang media selepas sesi libat urus Program Tabika Pra Tahfiz di Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW), Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan tidak akan sesekali untuk memanipulasi pelbagai isu yang boleh memecahbelahkan rakyat di negara ini.

Zahid turut mengarahkan agar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memantau hantaran dan tulisan yang menjurus ke arah naratif perkauman dan agama.

Katanya, keutamaan kini adalah mengenai soal untuk mencerakinkan semula pertumbuhan ekonomi negara dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat termasuk soal kerohanian.

“Kita harus duduk bersama-sama biar pun kita berbeza parti politik termasuk dalam soal pembangunan sebuah negara bangsa dengan menghormati agama-agama lain.

“Kita juga boleh berbeza pendapat tetapi kita raikan dengan akhlak yang baik,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengulas mengenai dapatan kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) yang memperlihatkan isu agama dan kaum yang dibangkitkan demi kepentingan politik.

“Kajian itu ada menyebutkan tentang bagaimana orang-orang politik menggunakan isu agama dan kaum. Masalah yang sangat sempit ini harus diselesaikan.

“Ia juga memperlihatkan bahawa isu-isu sempit agama dan kaum selalu dibangkitkan untuk kepentingan politik.

“Malah ada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti politik untuk mengkafirkan parti politik yang lain atau yang mengharamkan apa yang dilakukan oleh ahli-ahli sebuah parti masih tidak ditarik balik,” ujarnya.

Terdahulu, CIJ dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendedahkan hantaran berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan serta diskriminasi dicetuskan ahli politik, menguasai platform media sosial utama di negara ini ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

BACA JUGA Kerajaan cadang struktur semula gaji guru Tabika KEMAS