Air: Kelantan mohon RM8 bilion, PM Anwar masih teliti

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan keperluan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan adalah lebih serius kerana ia memerlukan peruntukan yang lebih tinggi berbanding Sabah.

Perdana Menteri bagaimanapun menyatakan pihak kerajaan belum bersetuju dengan angka RM8 bilion yang dimohon oleh Kelantan dan masih menelitinya termasuk dari segi pengurangan kos.

“Dana sebanyak RM8 bilion yang dimohon Kerajaan Kelantan saya belum bersetuju dan perlu melihat kepada beberapa peringkat keperluan utama.

“(Kelantan) tidak ada bekalan rizab air, tetapi mereka memohon 100 peratus keperluan itu, namun kita lihat tiada keperluan sebanyak itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur di Putrajaya, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengesahkan Kerajaan Negeri Kelantan dan Sabah bersetuju untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air di dua negeri itu.

“Apa yang penting, adalah tanggungjawab kita memastikan rakyat memperoleh kemudahan air bersih dengan segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata satu pasukan petugas khas diwujudkan bagi mencari penyelesaian isu air di Kelantan dan Sabah.

Katanya penubuhan pasukan itu dipersetujui dalam mesyuarat khas yang diadakan bersama-sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Nor di Perdana Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan yang dianggotai Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta kerajaan negeri itu berperanan menyediakan strategi segera menangani isu air di kedua-dua negeri itu.

“Tanggungjawab kita adalah pastikan rakyat peroleh kemudahan air bersih sesegera mungkin,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat khas hari ini turut membincangkan mengenai beberapa tindakan segera yang perlu diambil antaranya melibatkan masalah bekalan air yang tidak sampai dan bekalan air tidak bersih.

“(Masalah air ini) perlu langkah awal dan kita akan sediakan sedikit dana… projek ini memerlukan projek besar jangka panjang dan sederhana,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkara yang dibangkitkan semasa mesyuarat khas itu, Anwar berkata Sabah misalnya telah membangkitkan isu keperluan pinjaman mudah untuk satu projek empangan.

Anwar menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan menerima keputusan yang dibuat kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Tidak boleh bekerja secara silo, kita memerlukan dana yang besar dan mesti pastikan kita dapat melakukan dan menyelesaikannya,” katanya.

Anwar sebelum ini memberikan jaminan akan memberikan tumpuan kepada usahan menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah dan Kelantam meskipun terpaksa berbelanja besar.

BACA JUGA: Program besar-besaran selesai masalah air di Kelantan, Sabah – Anwar