Bukukan pengalaman pejuang negara, jadi khazanah berharga
Perjalanan hidup seorang pejuang dalam mempertahankan negara perlu dibukukan untuk dijadikan khazanah berharga kepada rakyat dan masyarakat, kata Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Beliau berkata usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghasilkan buku bekas Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Mohd Yunus Masjuki, ‘Panchor Dan Sejarah: Kisah Ayahanda’ harus dipuji kerana ia mengandungi bahan rujukan dan asas yang cukup bernilai.
“Saya percaya dengan sokongan dan bantuan berterusan yang telah diberikan DBP, ia bakal membuka lebih banyak ruang dan peluang serta menjadi pemangkin motivasi untuk bekas-bekas tentera menulis pengalaman serta kisah-kisah sejarah ketenteraan.
“Sejujurnya, saya berasa amat bangga dan menyokong usaha penuh merekodkan fakta dan kisah benar rakyat tempatan dalam mengharungi kehidupan masa lalu agar kisah ini dapat menjadi iktibar dan pedoman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku itu di pentas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Menurutnya, pengalaman yang diceritakan menerusi penulisan itu dapat meningkatkan pemahaman berkaitan pentingnya semangat cintakan tanah air kepada generasi hari ini dan akan datang.
Pada masa yang sama, Arman turut mengulas mengenai buku tersebut yang menceritakan pengalaman panjang penulis bersama ayahnya yang pernah berkhidmat untuk negara suatu masa dahulu.
“Secara dasarnya, ia mengisahkan bagaimana Haji Masjuki (bapa penulis) membesarkan anak-anaknya dengan menempuh liku-liku kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
“Apatah lagi beliau pada ketika itu sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau menempuh beberapa kejadian penting di negara ini termasuk zaman pemerintahan British, penjajahan Jepun, era kekejaman komunis dan seterusnya pengisytiharan darurat,” ujarnya.
Beliau berharap agar kisah tersebut dapat memberikan kesan yang mendalam sehingga mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu, bertoleransi dan saling membantu demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.
Buku Panchor Dan Sejarah: Kisah Ayahanda ini mengisahkan sejarah Panchor dan sekitarnya serta pengalaman hidup ayah penulis, Haji Masjuki Ramli sebagai anak watan Panchor kelahiran zaman British.
Pelbagai kisah kehidupan suka dan duka yang diimbau termasuk ketika peristiwa Jepun menyerang Panchor yang dialaminya sendiri bersama-sama ibu tercinta.
Masjuki menyertai Home Guard seawal tahun 1951 dan merupakan seorang veteran tentera (1958-1964 dan 1966-1976).
Pengalaman beliau melalui era British, pendudukan Jepun, zaman darurat, konfrontasi Malaysia-Indonesia dan peristiwa hitam 13 Mei 1969 menzahirkan banyak pengajaran untuk generasi hari ini.
BACA JUGA: Gemar teliti karya agung, PM Anwar jadi contoh pupuk minat membaca