Gemar teliti karya agung, PM Anwar jadi contoh pupuk minat membaca

Penerbit buku, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu golongan muda menanam sikap membaca bagi melahirkan generasi yang berilmu.

Penyelaras Projek IBDE, Abdullah Hussaini Mohd Ghazali berkata pemimpin nombor satu negara itu harus dijadikan contoh bagi memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda.

Menurutnya, usaha untuk memupuk minat membaca boleh diterjemahkan dengan adanya kempen yang bersungguh-sungguh seperti melalui Pesta Antarabangsa Buku Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

“Alhamdulillah kita diberikan seorang Perdana Menteri yang meneliti dan membaca karya-karya agung termasuk yang diterjemah sebagai bahan bacaan untuk kehidupan bernegara.

“Hasrat murni beliau (Anwar) harus diberi perhatian dan diletakkan sebagai tanggungjawab bersama termasuk dalam kalangan anak muda supaya tabiat membaca akan mampu mengubah nasib negara,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di reruai IBDE bersempena PABKL 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Anwar meneliti salah sebuah buku tulisan Dr Siddiq Fadzil selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia” di Wisma DBP, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2023. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Katanya, trend kesedaran membaca dalam kalangan anak muda semakin bertambah berdasarkan peningkatan jumlah kehadiran peserta ke PBAKL.

Abdullah yang juga seorang penterjemah gembira berikutan banyak buku terjemahan terbitan IBDE yang menerima geran daripada kerajaan negeri Selangor laris sepanjang PBAKL berlangsung sejak 26 Mei lalu.

Trend peningkatan pengunjung ke PBAKL menunjukkan budaya membaca buku dalam kalangan rakyat makin bertambah.

Beliau menjelaskan naskhah berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal antara paling laris berbanding lebih 25 buku lain terbitan IBDE.

Pada 27 Mei lalu, Anwar menyeru golongan muda untuk menanam sikap membaca bagi melahirkan generasi yang berilmu bagi membolehkan golongan itu membuat sesuatu penilaian yang lebih baik terutamanya dalam memilih pemimpin yang layak.

BACA JUGA: PM Anwar mahu anak muda tanam sikap suka membaca